Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

161) PEMBANGUNAN DESA DAN KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan jenis bantuan untuk pembangunan desa dan kampung tradisi

    Buat masa ini tiada sebarang bantuan khusus untuk pembangunan Desa dan Kampung Tradisi di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, di bawah Pembangunan Ekonomi Kampung Tradisi dan Program Pembangunan Desa, beberapa program ke arah melahirkan usahawan yang berdaya maju dari aspek kewangan dan ekonomi serta pembangunan modal insan telah dilaksanakan. Melalui kursus yang dilaksanakan para usahawan turut diterapkan kefahaman untuk menjadi usahawan yang bukan sahaja berjaya di dunia tetapi juga di akhirat dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat sejagat selaras dengan moto Negeri Selangor “Membangun Bangsa Memakmur Negeri”.

    Kerajaan Negeri sangat komited untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung di Negeri Selangor. Bermula tahun 2008, pelbagai program dijalankan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di bandar dan khususnya di desa iaitu di kampung-kampung tradisi. Melalui pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Kursus Kemahiran Jangka Pendek telah dilaksanakan.

    Program ini pada dasarnya bertujuan untuk memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Bagi tahun 2015 dan 2016, Program ini telah dilaksanakan secara berasingan di INPENS International Collage dan juga di Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) pada bulan Ogos dan September.

    Bagi tahun 2017, program ini dilaksanakan di dua (2) Inkubator sedia ada iaitu di Inkubator Sabak Bernam dan juga Inkubator Meru, Klang.

    Selain itu melalui Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) pula, Kerajaan Negeri telah memberikan peluang dan ruang bagi peniaga-peniaga serta usahawan kampung untuk memperkenal dan memasarkan produk-produk mereka sepanjang karnival berlangsung.

Lampiran

Tiada Lampiran.