Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

46) PEMBANGUNAN EKONOMI KAMPUNG

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah insentif kerajaan negeri untuk merancakkan ekonomi di kampung tradisi?

    Kerajaan Negeri sangat komited untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung di Negeri Selangor. Bermula tahun 2008, pelbagai program dijalankan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di bandar dan di desa khususnya. Melalui pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Kursus Kemahiran Jangka Pendek yang diadakan pada tahun 2015, penglibatan daripada peserta adalah seramai 600 orang. Program ini pada dasarnya bertujuan untuk memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Program ini telah dilaksanakan secara berasingan di INPENS International College dan Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) pada bulan Ogos dan September tahun 2015. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM210,124.00. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM53,930.00 bagi tujuan yang sama yang melibatkan seramai 190 orang peserta.

    Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Industri Komuniti Kampung juga telah mula dilaksanakan pada tahun 2015. Program ini merupakan lanjutan Kursus Kemahiran Jangka Pendek yang bertujuan memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Pada tahun 2015, program ini telah dihadiri oleh 95 orang peserta dengan jumlah peruntukan sebanyak RM793,300.00. Manakala pada tahun 2016, seramai 105 orang peserta telah mengambil bahagian yang melibatkan kos sebanyak RM992,500.00.

    Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM900,000.00 untuk melaksanakan Program Smart Inkubator yang telah melibatkan sebanyak 6 buah inkubator di 6 daerah yang berasingan. Program ini dicadangkan untuk memberdayakan ekonomi warga desa dan kampung tradisi. Program ini juga akan meningkatkan taraf sosial rakyat Negeri Selangor ke arah kesejahteraan negeri. Inkubator yang disediakan adalah melibatkan kursus-kursus seperti berikut :

     

    Daerah Jenis Inkubator
    Klang Penyaman Udara & Pendawaian Elektrik
    Kuala Langat Pusat Kecantikan, Dandanan Rambut &

    Jahitan

    Sabak Bernam Bengkel Motosikal
    Hulu Selangor
    Hulu Langat Makanan (Frozen Food)
    Petaling Stimulatherapy, Kecantikan & Jahitan

    Melalui Karnival 3K pula, Kerajaan Negeri telah memberikan peluang dan ruang bagi peniaga-peniaga serta usahawan kampung untuk memperkenal dan memasarkan produk-produk mereka sepanjang karnival berlangsung.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pembinaan sembilan (9) buah Dataran Niaga yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.35juta di setiap daerah bertujuan untuk menaiktaraf tapak-tapak pasar malam sedia ada dan menjadi medan untuk memasarkan produk-produk desa.

Lampiran

Tiada Lampiran.