Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

37) PEMBANGUNAN INDUSTRI EKONOMI DIGITAL

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam membangunkan industri ekonomi digital di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri telah menjalankan beberapa program dalam membantu industri ekonomi digital seperti Program Selangor Online 100 & Apps 100 anjuran Selangor IT E-Commerce Council (SITEC) yang mana program ini membantu usahawan kecil dan sederhana di Selangor untuk mengembangkan perniagaan mereka daripada kaedah tradisional ke arah perniagaan secara digital. Melalui Program ini mereka diberi peluang untuk memasarkan produk atau perkhidmatan perniagaan mereka melalui platform atas talian terbesar di negara seperti Lazada, shopee dan youbeli.com. Setiap tahun, seramai 100 usahawan dari negeri Selangor akan dilatih dan diberi pendedahan berkenaan dengan dunia perniagaan digital.

    Sepanjang tempoh daripada tahun 2015 sehingga 2019 sebanyak 120 Kelas dan program telah dijalankan oleh SITEC dimana program-program ini  memberi latihan dan pendedahan kepada usahawan mengikuti modul-modul yang telah ditetapkan seperti asas perniagaan online, pengurusan produk, pemasaran secara digital dan perkara-perkara lain yang penting dalam perniagaan secara atas talian. Jurulatih yang akan mengendalikan kelas pula adalah dari kalangan pakar daripada industri.

    Di samping itu, SITEC telah mewujudkan SITEC ACADEMY atau laman web untuk semua orang mempelajari tentang perniagaan digital secara maya. Kesemua bahan-bahan daripada kelas, latihan dan program yang telah di adakan seperti video dan slide presentation akan di muat naik ke laman web SITEC Academy di mana sesiapa sahaja boleh mempelajari tentang perniagaan secara atas talian di mana-mana dengan mudah. Boleh layari laman web www.sitecacademy.com untuk mengikutinya. Lebih daripada 100 video dan slide presentation telah di muat naik di laman web ini.

    Semua program yang di anjurkan ini adalah secara percuma di mana usahawan-usahawan boleh mengikutinya dan ia diadakan sepanjang tahun.

    Dari tahun 2015 sejak program ini telah di jalankan sebanyak 575 usahawan telah mengikuti program ini dimana anggaran GMV (Gross Merchant Value) daripada hasil jualan usahawan ini secara atas talian adalah RM 41 Juta

    Dalam menghargai Usahawan digital ini pula, SITEC telah menganjurkan Anugerah Malaysia Top E-Commerce Merchants Award setiap tahun sejak tahun 2016. Anugerah ini bukan sahaja menghargai peniaga secara atas talian malah mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan peniaga tersebut sepanjang tempoh anugerah ini diadakan di mana peniaga yang layak mengikuti anugerah ini akan mengadakan kempen jualan secara atas talian dalam tempoh yang ditetapkan dan daripada itu mereka akan dinilai dari segi jumlah tempahan, jualan dan pengurusan web dan produk yang menarik. Sejak ianya diwujudkan pada tahun 2016, lebih daripada RM 120 Juta ringgit jumlah GMV (Gross Merchant Value) telah berjaya dihasilkan oleh lebih daripada 400 usahawan yang terpilih untuk memasuki anugerah Top E-Commerce Merchant Award ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.