Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

82) Pembangunan Keusahawanan Sewaktu COVID-19

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri khususnya bagi menjana pendapatan tambahan rakyat terutama pasca Covid-19 ini?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah merangka pelbagai program yang merangkumi aspek-aspek penting dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat pasca COVID19. Program-program yang dilaksanakan ini meliputi aspek promosi, latihan, bantuan peralatan dan peningkatan teknologi iaitu seperti berikut:

    i. Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)
    Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.
    Setiap daerah diperuntukkan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:
    • Rakyat Negeri Selangor atau yang telah bermastautin lebih daripada 10 tahun;
    • Perusahaan dijalankan di Negeri Selangor;
    • Berumur antara 18 – 55 tahun;
    • Nilai jualan kurang daripada RM300,000.00 atau bilangan pekerja 2-5 orang;
    • Perusahaan telah dan masih beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun;
    • Perusahaan dijalankan sepenuh masa; dan
    • Perusahaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

    ii. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
    Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 33 Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Program bantuan ini terbuka kepada semua pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan.

    iii. Pinjaman Mikrokredit HIJRAH Selangor
    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2015. Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    iv. KO-HIJRAH Selangor
    Agensi ini menyediakan platform jualan dan pemasaran produk usahawan di kedai serbaneka KO- HIJRAH Mart. Syarat kemasukan di kedai ini amat minimum bagi memudahkan usahawan kecil menjual produk mereka.

    v. Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE)
    Program ini bertujuan untuk membantu anak muda untuk mendapatkan lesen memandu bagi tujuan menjana ekonomi. Program ini dijalankan selaras dengan arus ekonomi yang menjadikan trend gig economy semakin meluas di Malaysia.

    vi. Selangor E-Supply Chain (SELDEC)
    Rentetan program RIDE peserta program tersebut dijadikan sebagai medium mobilasi produk bagi program Selangor E-Supply Chain (SELDEC). SELDEC merupakan platform jualan barangan pengguna secara dalam talian dan peserta RIDE akan terlibat sebagai saluran penghantaran kepada pengguna.

    vii. Klinik Usahawan Selangor
    Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan perkembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS dengan melaksanakan, inisiatif ini yang disediakan di PKNS BizPoint, Selangor.

    Usahawan di Negeri Selangor tidak terkecuali daripada tempias akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu akibat Covid19 di mana kebanyakan usahawan terkesan dari segi jualan yang merosot secara mendadak. Para usahawan perlu mencari kaedah yang sesuai dan melakukan anjakan paradigma dan maju ke hadapan serta mengadaptasi teknologi semasa yang mampu melonjakkan perniagaan dalam apa jua situasi. Jika dahulu mereka mengharapkan pelanggan datang ke kedai namun kini mereka perlu mencapai pelanggan melalui secara dalam talian atau kaedah-kaedah lain yang bersesuaian.

Lampiran

Tiada Lampiran.