Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

131) PEMBANGUNAN LANGAT 2

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri telah meluluskan pelan pembangunan projek Langat 2 berdasarkan persetujuan dalam MOU dengan Persekutuan?

    Selepas sahaja MOU ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor pada 26  Februari 2014, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) telah mengeluarkan  Kebenaran Merancang bagi pelaksanaan Projek Langat 2 untuk komponen kerja Loji

    Rawatan Air, Tangki Imbangn Hulu Langat, Tangki Imbangan Bukit Enggang, Kolam Sg Besi, Outlet Portal dan Loji Rawatan Enap Cemar dan Tapak Pelupusan.

    Namun demikian, Kerajaan Negeri Selangor masih menangguhkan lagi kelulusankelulusan lain seperti berikut:-

    • Kebenaran Merancang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk komponen Ampang Reservoir;
    • Kebenaran Merancang oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk komponen Petaling Reservoir dan Bukit Jalil Reservoir;
    • Permohonan pengambilan balik bagi 134 lot tanah untuk maksud Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan Langat 2;
    • Permohonan perizaban atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan menurut Kaedah-kaedah Tanah Selangor 2003 bagi 67 lot tanah;
    • Permohonan permit penggunaan tanah rizab hutan bagi komponen Kolam Air Petaling, Kolam Air Ampang, Tunnel Outlet Portal, Jajaran paip Koridor Utara (terowong jajaran paip dari Kolam Air Ampang ke Kolam Air Hulu Langat) dan Jajaran Paip Air Koridor Barat.

    Kelulusan-kelulusan yang ditangguhkan itu hanya akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor setelah semua isu berbangkit berkenaan dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan. Ini adalah kerana pendirian Kerajaan Negeri Selangor mengenai pelaksanaan Projek Langat 2 masih kekal seperti dahulu di mana Projek LRA 2 ini hanya boleh dilaksanakan bersekali dengan memuktamadkan segera penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor berdasarkan kepada Model Holistik.

Lampiran

Tiada Lampiran.