Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

235) PEMBANGUNAN LOOK UP POINT BUKIT AMPANG

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Menurut jawapan sebelum ini, pelantikan pengurus projek dan operator dijangka akan dilaksanakan pada awal tahun 2021. Apakah perkembangan terkini bagi Pelan Tindakan Pembangunan Ampang Look Out Point (ALOP)?

    Ampang Look Out Point (ALOP) terletak di kompartmen 79A dan 80, Hutan Simpan Hulu Langat seluas lebih kurang 7.04 hektar di bawah pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah. Ia telah ditubuhkan pada tahun 2001 sebagai salah satu destinasi pelancongan di Selangor disebabkan oleh lokasinya yang terletak di puncak bukit dengan pelbagai daya tarikan seperti menara pandang, restoran, kawasan istirahat yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan bandaraya Kuala Lumpur.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah menyediakan satu Pelan Tindakan Pembangunan Ampang Look Out Point (ALOP) sebagai Pusat Kecemerlangan Hutan Negeri Selangor pada tahun 2016 yang akan dibangunkan melalui model pengurusan dan pembangunan secara kerjasama atau perkongsian pintar iaitu Public Private Partnership (PPP).

    Tiada projek pembangunan infra baru yang dibuat di sini memandangkan kawasan ini telah ditutup kepada umum sejak berlaku kejadian tanah runtuh pada tahun 2013. Mulai dari tarikh tersebut sehingga kini tiada lagi berlaku kejadian tersebut dan bagi memastikan keselamatan pengunjung kawasan ini tidak dibuka sehingga sekarang. Walau bagaimanapun, pihak jabatan masih menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan kebersihan kawasan.

    Berdasarkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 23/2019 bertarikh pada 14 Ogos 2019 telah bersetuju melantik MBI sebagai Pengurus Projek bagi Pembangunan semula Ampang Look Out Point sebagai Pusat Kecemerlangan Hutan Negeri Selangor, MBI bertanggungjawab sebagaimana ketetapan berikut;

    1. Menguruskan keseluruhan projek ALOP melalui kaedah secara kerjasama atau perkongsian pintar iaitu Public Private Partnership (PPP);
    2. Menguruskan keseluruhan proses tender Request For Proposal (RFP) sewajarnya mengikut prosidur dan kaedah yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah MBI dan Mantan Pegawai Kewangan Negeri;
    3. Mengenakan caj perkhidmatan kepada pembida yang berjaya sebanyak 2% sahaja;
    4. Membentangkan hasil penilaian RFP di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk kelulusan perlantikan Kerajaan Negeri Selangor;
    5. Tidak mengubah sebarang status pemilikan tanah dan perlu kekal sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).
    6. Merujuk kepada kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor bagi penetapan syarat-syarat perjanjian berkaitan projek pembangunan ALOP;

     

    Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah menubuhkan Jawatankuasa Penilaian Request For Proposal (RFP) yang dipengerusikan oleh Pengarah Perhutanan Negeri Selangor bagi membincangkan Terms Of Refference (TOR) dokumen RFP sebelum pihak MBI menjalankan tawaran kepada mana-mana syarikat/agensi/individu yang berminat untuk membangunkan Ampang Look Out Point (ALOP) sebagai Pusat Kecemerlangan Hutan Negeri Selangor melalui kaedah kerjasama atau perkongsian pintar iaitu Public Private Partnership (PPP).

    Jabatan ini juga telah menerima permohonan daripada MBI untuk mengadakan satu (1) lawatan tapak ke ALOP bagi menjalankan penilaian dan gambaran bagi tujuan rekod yang merupakan sebahagian daripada proses RFP.

Lampiran

Tiada Lampiran.