Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

49) PEMBANGUNAN MASYARAKAT INDIA

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program pembangunan masyarakat India yang dilaksanakan sepanjang 2014 & 2015 selain pekerja ladang?

    Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang di bawah Kerajaan Negeri Selangor merupakan portfolio yang tertumpu khususnya kepada pembangunan pekerja, bekas pekerja ladang dan anak – anak pekerja ladang yang terdapat di ladang – ladang di seluruh Negeri Selangor. Jawatankuasa ini mahupun mana-mana Jawatankuasa Tetap yang lain di Negeri Selangor tidak mempunyai dasar atau program secara khusus untuk membantu kaum India secara keseluruhan bagi meningkatkan pembangunan masyarakat India di Negeri

     

    Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah melaksanakan beberapa program bagi meningkatkan kesedaran dan keyakinan kaum India bagi meningkatkan taraf hidup sosioekonomi dan memajukan diri dalam bidang yang diceburi untuk menjamin masa depan     mereka                                   dan                                              keluarga.

     

    Antara program-program yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah tamil adalah :

    • Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah
    • Program Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR
    • Program-program motivasi
    • Program-program jatidiri

     

    Program-program tersebut adalah melibatkan seluruh pelajar yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) di seluruh selangor. Penganjuran program tersebut di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang adalah bertujuan khusus untuk membantu pelajar-pelajar tamil dalam meningkatkan mutu pendidikan di samping membantu mengurangkan bebanan dalam usaha mengejar ilmu.

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang juga telah menganjurkan beberapa program bagi merapatkan silaturahim di kalangan masyarakat India di Negeri Selangor dengan penganjuran program berbentuk perayaan yang melibatkan pembangunan sosioekonomi mereka. Program – program yang dianjurkan sepanjang tahun 2014 dan 2015 yang melibatkan masyarakat India adalah lebih kepada program perayaan masyarakat India seperti Perayaan Deepavali, Perayaan Thaipusam, Perayaan Ponggal. Program – program ini tidak tertumpu kepada pekerja ladang atau anak – anak pekerja ladang malah terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor dengan tidak mengira bangsa dan kaum.

     

    Selain menyambut perayaan, program tersebut diselitkan dengan sedikit taklimat dan penerangan mengenai dasar-dasar dan bantuan yang terdapat di Negeri Selangor khusus untuk menjaga kebajikan rakyat. Setiap kali perayaan disambut, ia akan disertai dan dimeriahkan oleh masyarakat pelbagai kaum. Perayaan seperti ini bukan sahaja dihadiri oleh rakyat Selangor, malahan dimeriahkan oleh rakyat di kawasan luar Selangor terutama pada Program Pesta Thaipusam yang diadakan di Batu Caves Selangor. Dari apa yang dilihat, pesta tersebut dihadiri oleh masyarakat India di dalam dan juga luar negara kerana perayaan tersebut antara acara perayaan utama di peringkat nasional. Perayaan Deepavali juga dilihat sebagi kesempatan terbaik untuk mempromosikan Negeri Selangor yang bukan sahaja sebagai pusat pelancongan malahan program seumpama ini dapat merapatkan jurang antara pemimpin dan masyarakat.

     

    Dengan adanya penganjuran program – program perayaan sebegini, secara tidak langsung masyarakat India dapat mengambil peluang untuk berniaga secara kecil – kecilan semasa program berlangsung dengan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan. Perniagaan yang biasa dijalankan oleh masyarakat India semasa program – program ini berlangsung adalah seperti penjualan manisan, kuih – kuih tradisional kaum India, pakaian tradional, bunga malai dan aksesori yang sering dipakai semasa perayaan berkenaan dijalankan.

     

    Perniagaan kecil – kecilan ini dapat meningkatkan peluang kepada peniaga kecil untuk terus maju dan mengembangkan dan mempromosikan perniagaan mereka kepada umum di dalam dan luar negara. Pendedahan dunia perniagaan sebegini kepada masyarakat kaum India dapat meningkatkan keyakinan diri, peluang berinteraksi bersama masyarakat berbilang kaum dan menimba ilmu perniagaan dan pengalaman baru serta mempunyai hubungan baik diantara kaum secara tidak langsung, dapat meningkatkan sosioekonomi masyarakat India dan melahirkan usahawan – usahawan di kalangan kaum India.

    Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana sebanyak RM500 ribu setahun bagi penganjuran program-program pekerja ladang yang melibatkan majoriti masyarakat India di Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, selain bantuan yang tertumpu kepada pekerja ladang, Kerajaan Negeri di bawah Standco Pendidikan juga telah memperuntukkan dana sebanyak RM4 juta bagi membantu sekolah-sekolah tamil dalam memberikan bantuan infrastruktur sekolah untuk memastikan pelajar sekolah tamil dapat belajar dalam suasana yang selesa. Sehubungan dengan itu, sebanyak RM1.76 juta pula diperuntukkan di bawah program Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada kuil-kuil hindu dan Gurdwara di Negeri Selangor.

    Seluruh masyarakat India di Negeri Selangor mendapat sumbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor pada setiap kali perayaan Deepavali yang disambut setiap tahun di bawah Program Jom Shopping Deepavali. RM1.7 juta telah diperuntukkan di bawah program ini untuk membantu masyarakat India untuk membeli barangan keperluan sempena perayaan tersebut sebagai mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung mereka.

    Kerajaan Negeri Selangor memandang serius akan kos sara hidup yang kian meningkat mengikut arus peredaran zaman termasuklah Cukai Perkhidmatan Kerajaan (GST) yang dikenakan kepada seluruh rakyat pada masa kini. Bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri tidak ditumpukan kepada satu kaum sahaja tetapi merangkumi semua kaum di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.