Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

213) PEMBANGUNAN PERTANIAN

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan untuk membangunkan pertanian di daerah Hulu Langat?

    Antara langkah Kerajaan bagi pembangunan pertanian di daerah Hulu Langat adalah seperti berikut:

    Pembangunan dusun buah-buahan

    Daerah Hulu Langat mempunyai dusun-dusun lama dan mempunyai potensi dimajukan dengan penanaman pelbagai varieti durian seperti Musang King (D197), Bukit Merah (D24), Hajah Hasmah atau IOI (D168), tanaman nangka Tekam Yellow (J33) dan lain-lain tanaman dengan klon atau varieti yang bernilai tinggi serta memenuhi permintaan pasaran. Projek dibangunkan melalui pendekatan secara berkelompok ataupun secara komersil. Permohonan insentif atau bantuan meningkat pada setiap tahun bagi memajukan projek tanaman dusun buah-buahan sama  ada projek baru ataupun dusun lama.

    Pembangunan Tanah terbiar

    Program ini terbuka kepada pemohon untuk menyertai projek pembangunan tanah terbuka dengan syarat kelayakan tanah minima seluas 2 hektar untuk menjalankan pelbagai  projek tanaman makanan seperti tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, herba, tanaman kontan dan lain-lain.

    Pembangunan Projek Fertigasi

    Pembangunan projek fertigasi rock melon, cili , timun dan pelbagai tanaman dapat menarik minat agroprenuer muda menceburi bidang pertanian. Permintaan rock melon dan cili dipasaran serta penggunaan teknologi terkini berupaya menarik golongan muda menceburi bidang ini secara meluas dan pengunaan tanah yang maksima.

    Pembangunan tanaman bunga-bungaan dan hiasan

    Pembangunan industri hiasan dan bunga-bungaan berpotensi dimajukan berdasarkan permintaan pasaran. Kewujudan taman perumahan dan pembangunan lain meningkatkan peluang-peluang perniagaan kepada usahawan yang mengeluarkan tanaman hiasan atau landskap.

    Pembangunan industri cendawan

    Peningkatan permintaan pasaran cendawan mewujudkan peluang dalam mengusahakan cendawan secara komersil. Pelbagai jenis penghasilan cendawan diusahakan oleh pengusaha dengan menggunapakai teknologi moden serta penghasilan yang tinggi beserta potensi pasaran yang ada. Pengunaan bangunan atau tanah yang minima mampu menjana pendapatan usahawan dalam bidang ini.

    Pembangunan TKPM

    Terdapat 2 Tanam Kekal Pengeluaran Makanan Hulu Langat iaitu TKPM Semenyih dan TKPM Batang Si. TKPM Semenyih berkeluasan 38 hektar dengan 8 peserta manakala TKPM Batang Si berkeluasan 58 hektar diusahakan oleh 13 peserta . Tanaman utama nangka dan belimbing diusahakan disamping tanaman lain iaitu sayur-sayuran dan tanaman kontan.

    Latihan

    Pelbagai kursus dan latihan diadakan di pusat flora cheras dan juga peringkat negeri selangor dalam menawarkan kursus-kursus tanaman dan industri hiliran pertanian. Kursus dianjurkan secara percuma dan bulanan terbuka kepada semua yang berminat menceburi bidang pertanian.

    Pertanian Bandar

    Keluasan tanah bandar yang terhad dan kepadatan penduduk bandar mewujudkan peluang melaksanakan program pertanian bandar dan kebun komuniti di kawasan perumahan, flat, pangsapuri dan komuniti. Jabatan pertanian turun menjayakan pelbagai projek pertanian bandar diatas kapasiti permintaan komuniti, pertubuhan awam dan agensi-agensi kerajaan mahupun swasta. Pelbagai kursus dan program dilaksanakan bagi menggalakkan program ini bagi mengeluaran tanaman makanan sendiri yang segar, berkualiti dan selamat dimakan. Antara projek yang sedang dibangunkan ialah memperkenalkan smart farm, akuaponik dan IOT seperti di Pandan Jaya.

    Pensijilan myGAP dan myOrganic

    Peningkatan pengeluaran sijil myGAP dan myOrganic menunjukkan kesedaran pada pengusaha projek pertanian dalam mengeluaran tanaman berkualiti serta selamat dimakan. Jabatan pertanian melaksanakan penerangan dan kepentingan berkaitan pensijilan ini bagi memastikan produk yang dihasilkan mematuhi keselamatan makanan sekaligus memberi kesedaran kepada pengusaha dalam memastikan tanaman diusahakan mengikut peraturan dan kaedah yang selamat.

Lampiran

Tiada Lampiran.