Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

75) Pembangunan Rumah Luar Bandar

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu penduduk luar bandar di dalam memudahuruskan keperluan tempat tinggal mereka?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengambil beberapa inisiatif dan usaha yang sedang dan telah dilakukan terhadap keperluan tempat tinggal penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar melalui pendekatan seperti berikut :

    i) Mempromosikan / menyebarluaskan projek-projek Rumah Selangorku supaya diketahui oleh rakyat jelata melalui media cetak dan media elektronik.

    ii) Mengadakan program-program penawaran Rumah Selangorku secara terbuka dan terus setelah penawaran berdasarkan merit dibuat bagi mempercepatkan urusan pembelian Rumah Selangorku.

    iii) Mengadakan program Pameran Hartanah Negeri Selangor khususnya untuk mempromosikan projek-projek Rumah Selangorku.

    iv) Memaklumkan / memanjangkan kepada semua Jabatan Kerajaan / Agensi Kerajaan supaya kakitangan kerajaan boleh mengakses / mendapatkan maklumat berkenaan projek-projek Rumah Selangorku sekaligus dapat membeli unit-unit rumah tersebut.

    v) Memaklumkan / memanjangkan kepada semua pejabat-pejabat ADUN berkenaan projek-projek Rumah Selangorku khususnya bagi baki unit-unit yang masih kosong / tidak terjual untuk diwar-warkan atau disebarluaskan kepada penduduk-penduduk di kawasan ADUN masing-masing supaya mereka mengetahui akan kewujudan projek-projek Rumah Selangorku seterusnya dapat membeli unit rumah tersebut.

    Selain daripada itu, sebagai langkah jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap rakyat khususnya golongan B40 yang tinggal di bandar mahupun luar bandar untuk memiliki rumah adalah melalui beberapa program seperti berikut:

    (i) Skim Dana Sel

    Bagi kes golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan ini membeli Rumah Selangorku Jenis A. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat LPHS iaitu syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) menguruskan skim ini melalui kaedah pembiayaan yang merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan. Skim ini akan dipertimbangkan untuk diperluaskan lagi pada masa akan datang agar ianya dapat membantu lebih ramai golongan B40 untuk memiliki kediaman.

    (ii) Skim Smart Sewa

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa dengan objektif utama adalah bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran. Mereka ini akan diberi tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama 2 tahun dan maksima selama 5 tahun.

    Penyewa akan mendapat pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun. Dengan pengembalian sebanyak 30 peratus wang sewaan bersih kepada pemohon maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang. Kerajaan Negeri melalui LPHS akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit dengan pemohon memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

    (iii) Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY)

    Peserta di bawah program ini akan melalui 2 Fasa iaitu tempoh penyewaan di bawah Skim Smart Sewa (minimum 2 tahun sehingga maksimum 5 tahun) dan tempoh pemilikan di bawah ‘Rent to Own’. Selepas tamatnya tempoh penyewaan 5 tahun, penyewa akan diberikan pilihan sama ada untuk membeli/ memiliki rumah tersebut atau sebaliknya. Sekiranya penyewa memilih untuk tidak membeli, penyewa tersebut perlu berpindah keluar dengan mendapat balik 30 peratus jumlah bayaran sewa yang terkumpul sepanjang tempoh sewaan di bawah Skim Smart Sewa tersebut.

    Bagi penyewa yang memilih untuk membeli, penyewa akan menggunakan 30 peratus tersebut dijadikan sebagai bayaran deposit pembelian rumah tersebut di bawah Skim Sewa Milik (Rent to Own), bakinya dijelaskan secara bayaran ansuran bulanan selama tempoh yang akan ditetapkan kelak. Jangkaan harga jualan rumah tersebut adalah pada harga tidak melebihi RM200,000 seunit.

    Maklumat Tambahan:
    Kerajaaan Negeri telah meluluskan Dasar Baharu Pemberimilikan Tanah Kerajaan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor bilangan 3/2020 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2020. Melalui pekeliling ini, tanah-tanah Kerajaan yang telah didirikan dengan bangunan kediaman akan dikenakan premium pada kadar nominal RM 1,000.00 bagi keluasan 3,750 kaki persegi manakala tambahan daripada keluasan tersebut akan dikenakan premium mengikut Kaedah Tanah Selangor. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar bagi memiliki tanah milik kediaman mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.