Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

84) PEMBANGUNAN USAHAWAN MIKRO PASCA COVID-19

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah insentif atau bantuan Kerajaan Negeri bagi menggalakkan usahawan mikro, terutamanya yang berniaga dari rumah pasca Covid-19?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah menganjurkan siri kursus atas talian dengan kerjasama pihak Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).  Siri latihan ini merupakan satu kursus transfomasi perniagaan yang lengkap khusus kepada para usahawan untuk menghadapi perubahan arus perniagaan dan mengalami kemerosotan perniagaan akibat pandemik COVID-19.  Penyertaan kursus ini terbuka kepada usahawan sedia ada mahupun mereka yang ingin menambah pendapatan keluarga.

    Selain itu Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana setiap tahun bagi memperkasakan dan melahirkan usahawan berjaya di dalam Negeri Selangor. Sebahagian permohonan bantuan ini diproses sepanjang tahun dan mengikut proses kelulusan. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

     

    i. Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.  Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.

    Setiap daerah diperuntukkan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS.  Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00.  Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

    • Rakyat Negeri Selangor atau yang telah bermastautin lebih daripada 10 tahun;
    • Perusahaan dijalankan di Negeri Selangor;
    • Berumur antara 18 – 55 tahun;
    • Nilai jualan kurang daripada RM300,000.00 atau bilangan pekerja 2-5 orang;
    • Perusahaan telah dan masih beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun;
    • Perusahaan dijalankan sepenuh masa; dan
    • Perusahaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

     

    ii. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 33 Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan.  Program bantuan ini  terbuka kepada semua pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan.

    iii. Pensijilan Halal Negeri Selangor

    Program ini terbuka kepada usahawan yang ingin mendapatkan pensijilan halal produk dan meningkat daya saing dan pasaran produk.

    iv. Program Peningkatan Pembungkusan

    Program ini terbuka kepada usahawan yang ingin meningkatkan mutu pembungkusan dan bersedia menembusi pasaraya rantaian dan pasaran eksport.

    v. Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2015.  Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010.  Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan.  Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    Usahawan di Negeri Selangor tidak terkecuali menerima tempias akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu akibat Covid19.  Ini menyebabkan kebanyakan usahawan terkesan dari segi jualan yang merosot secara mendadak tanpa persediaan.

    Para usahawan perlu mencari kaedah yang sesuai dan melakukan anjakan paradigma dan maju ke hadapan mengadaptasi teknologi semasa yang mampu melonjakkan perniagaan tanpa mengira situasi yang berlaku.  Ini bermakna mereka perlu mampu untuk mentadbir urus perniagaan seterusnya menjana jualan walaupun terpaksa menutup operasi buat sementara waktu. Jika dahulu mereka mengharapkan pelanggan datang ke kedai namun kini mereka perlu mencapai pelanggan melalui secara dalam talian atau kaedah-kaedah lain yang bersesuaian.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.