Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

59) PEMBANGUNAN USAHAWAN

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pendapatan usahawan di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa peka dan prihatin terhadap keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil yang mengakibatkan kenaikan harga barang sekaligus meningkatkan kos operasi usahawan yang akan mengakibatkan penurunan pendapatan / keuntungan. Oleh itu, mulai tahun 2015, Kerajaan Negeri telah menaikkan peruntukan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor sebanyak 38% iaitu RM109.8 juta bagi tahun 2015 berbanding RM79.5 juta pada tahun 2014. Di samping itu,  Kerajaan Negeri juga telah menaik taraf bantuan Dana Industri Kampung kepada Dana Usahawan Mikro Selangor yang sekaligus menaikkan siling bantuan daripada RM10,000.00 per permohonan kepada RM30,000.00 per permohonan. Kerajaan Negeri juga mereformasikan aktiviti riadah kepada aktiviti sosioekonomi seperti menganjurkan Selangor Food Mega Festival (SFMF15) yang telah berjaya mengumpul hasil jualan sebanyak RM1.167 juta dalam tempoh 2 hari. Kerajaan Negeri juga telah menganjurkan Festival Ramadhan Selangor (FESTIRA15) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS dan PKNS Real Estate untuk membantu usahawan menjana ekonomi dan pendapatan tambahan mereka di sepanjang bulan Ramadhan. Tidak ketinggalan juga, Kerajaan Negeri Selangor turut menganjurkan bengkel jualan / peningkatan pendapatan melalui Facebook (FB Marketing). Kaedah FB marketing juga dapat membantu usahawan menjimatkan / mengurangkan kos tetap perusahaan (fix cost) seperti penyewaan premis pengeluaran dan mencapai pasaran yang lebih luas tanpa sempadan.

Lampiran

Tiada Lampiran.