Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

163) PEMBANGUNAN WANITA SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila kemukakan dasar atau polisi yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Selangor untuk pembangunan Wanita di Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor menggunapakai Dasar Wanita Negara sebagai dasar dan polisi dalam merancang program-program berkaitan wanita iaitu menjamin pembangunan dan pengupayaan wanita dengan mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya dalam perancangan dan pembangunan negara untuk mencapai kesaksamaan gender.

    Matlamat dasar ini adalah untuk:

    • membangun potensi dan mendayaupayakan wanita dari pelbagai lapisan masyarakat dan dalam semua sektor sebagai agen perubahan kepada masyarakat serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara;
    • menyediakan persekitaran yang kondusif, termasuk penggubalan dasar dan perundangan mesra wanita, bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita dalam semua aspek termasuk fizikal, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, psikologi dan kerohanian;
    • membudayakan kesaksamaan gender di kalangan semua lapisan masyarakat dalam semua sektor;
    • memastikan pandangan dan suara wanita diterima pakai dalam proses membuat keputusan di semua peringkat;
    • mencapai perkongsian saksama antara wanita dengan lelaki dalam memperoleh dan mengawal sumber dan peluang penyertaan serta menikmati manfaat pembangunan; dan
    • meningkat dan mengukuhkan perkongsian adil dan saksama antara wanita dengan lelaki dalam semua aspek kehidupan bagi memantapkan institusi keluarga serta membangunkan komuniti dan masyarakat.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan satu Pelan Tindakan Wanita Selangor 2010-2018 yang mempunyai misi Pemberdayaan Wanita Selangor ke arah pembinaan masyarakat madani.

    Objektif Misi Pemberdayaan Wanita Selangor adalah membentuk wanita dengan :

    1. membina jati diri wanita yang dinamik;
    2. memupuk sifat daya saing wanita;
    • membangun sifat berperi kemanusiaan;
    1. mengembang ilmu yang diperlukan; dan
    2. melahirkan wanita yang berketerampilan dan berupaya mendorong individu sekeliling mereka ke arah menghayati prinsip-prinsip masyarakat madani.

    Dalam hal pemberdayaan wanita, usaha Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 adalah meliputi :-

    i) Peningkatan Tahap Kesihatan Wanita Selangor;

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Mammogram Selangor (MammoSel) bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pengesanan awal terhadap kanser payudara. Seramai 22,248 orang telah menerima manfaat melalui program tersebut semenjak dilancar pada tahun 2010. Selain itu, tahap kesedaran wanita Selangor tentang bahaya kanser semakin meningkat seiring dengan program-program kempen yang telah dilaksanakan setiap tahun.

    ii) Program Pengupayaan Pendidikan

    Dalam kaitan di atas, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah peruntukan khusus bagi pengupayaan wanita dalam bidang pendidikan. Melalui program-program Pembangunan Wanita dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) maka ramai wanita Selangor kini lebih berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang pendidikan. Program-program yang dilaksanakan adalah dalam pelbagai bentuk antaranya melalui kempen-kempen kesedaran dan advokasi, bengkel-bengkel latihan jangka panjang dan jangka pendek, seminar-seminar dan lain-lain lagi. Segenap lapisan wanita di Selangor akan dilibatkan dan tiada keciciran ini termasuklah wanita-wanita dari ladang.

    iii)  Penglibatan Wanita Dalam Keusahawanan

    Kerajaan Negeri amat prihatin dan serius dalam meningkatkan bilangan wanita dalam bidang keusahawanan. Sehubungan itu, pelbagai program telah diperkenalkan bagi meningkatkan peluang wanita dalam membina perniagaan sendiri. Tidak kurang juga bantuan kewangan juga disediakan untuk wanita Selangor yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan di bawah Program HIJRAH. Untuk makluman, seramai 15,072 orang adalah peserta wanita dari jumlah keseluruhan peserta seramai 24,628 orang peserta yang menyertai program tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.