Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

65) PEMBANGUNAN WANITA SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan dan pelan tindakan Kerajaan Selangor untuk membangunkan wanita muda?

    Golongan wanita muda merupakan antara kumpulan masyarakat yang penting dan aset kepada sesebuah negara. Terdapat sejumlah 619,800 orang wanita muda di Negeri Selangor yang berumur antara 20 hingga 29 tahun. Jumlah ini menunjukkan potensi yang besar dalam kalangan wanita muda di negeri ini untuk dimanfaatkan demi pembangunan insan dan sosioekonomi

    Kerajaan Negeri telah menetapkan satu Pelan Tindakan Wanita Selangor 2010- 2018 yang mempunyai misi Pemberdayaan Wanita Selangor ke arah pembinaan masyarakat madani yang merangkumi golongan wanita muda.

    Objektif Misi Pemberdayaan Wanita Selangor adalah :

    1. membina jati diri wanita yang dinamik;
    2. memupuk sifat daya saing wanita;
    • membangun sifat berperi kemanusiaan;
    • mengembang ilmu yang diperlukan; dan
    • melahirkan wanita yang berketerampilan dan berupaya mendorong individu sekeliling mereka ke arah menghayati prinsip-prinsip masyarakat

    Dalam hal pemberdayaan wanita, usaha Kerajaan Negeri Selangor adalah meliputi:

    • Peningkatan Tahap Kesihatan Wanita Selangor;

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Mammogram Selangor (MammoSel) bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pengesanan awal terhadap kanser payudara. Seramai 23,592 orang telah menerima manfaat melalui program tersebut semenjak dilancar pada tahun 2010. Selain itu, tahap kesedaran wanita Selangor tentang bahaya kanser semakin meningkat seiring dengan program-program kempen yang telah dilakasanakan setiap tahun.

    • Program Pengupayaan Pendidikan

    Dalam kaitan diatas, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah peruntukan khusus bagi pengupayaan wanita dalam bidang pendidikan. Melalui program-program Pembangunan Wanita dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) maka ramai wanita Selangor kini lebih berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang pendidikan. Program-program yang dilaksanakan adalah dalam pelbagai bentuk antaranya melalui kempen- kempen kesedara dan advokasi, bengkel-bengkel latihan jangka panjang dan jangka pendek, seminar-seminar dan lain-lain lagi. Segenap lapisan wanita di Selangor akan dilibatkan dan tiada keciciran ini termasuklah wanita-wanita dari ladang.

    • Penglibatan Wanita Dalam Keusahawanan

    Kerajaan Negeri amat prihatin dan serius dalam meningkatkan bilangan wanita dalam bidang keusahawanan. Sehubungan itu, pelbagai program telah diperkenalkan bagi meningkatkan peluang wanita dalam membina perniagaan sendiri. Tidak kurang juga bantuan kewangan juga disediakan untuk wanita Selangor yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan dibawah Program Hijrah. Untuk makluman, seramai 15,072 orang adalah peserta wanita dari jumlah keseluruhan peserta seramai 24,628 orang peserta yang menyertai program tersebut.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.