Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

173) PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan hasil kajian Blueprint Pembasmian Kemiskinan Program Usahawan bersama SITEC untuk tujuan perniagaan atas talian.

    1. Sepertimana semua sedia maklum, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Program ini bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi golongan masyarakat/ individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan.

     

    Pada tahun 2018, satu Kajian Penilaian Impak melibatkan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan,  Program Dana Usahawan Mikro (DUMS), Program Pinjaman Mikrokredit Perniagaan Hijrah Selangor dan Penggerak Belia Tempatan dalam Pembangunan Generasi Muda Selangor (PeBT) telah dilaksanakan oleh Institut Darul Ehsan (IDE).

     

    Untuk Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, sejumlah 1171 penerima bantuan telah digunakan sebagai sampel di dalam kajian impak ini. Hasil dapatan kajian tersebut telah menunjukkan bahawa 87% iaitu seramai 1019 daripada 1171 orang penerima bantuan telah berjaya meningkatkan pendapatan selepas menerima bantuan mesin/ peralatan daripada Kerajaan Negeri. Manakala hanya 13% iaitu seramai 152 sahaja mencatatkan tiada peningkatan.

     

    Laporan Akhir Kajian Penilaian Impak Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan menunjukkan majoriti responden dari kalangan penerima Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan iaitu 95% bersetuju bahawa bantuan mesin/ peralatan yang diterima telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan bulanan mereka.

    Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan ini, dapat disimpulkan bahawa Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan telah memberikan impak yang positif kepada rakyat Selangor khususnya di dalam membasmi kemiskinan.

    Untuk makluman Y.B, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan tiada menjalinkan kerjasama bersama Selangor Information Technology And E-Commerce Council (SITEC) untuk tujuan perniagaan di dalam talian pada masa kini. Ini adalah kerana majoriti penerima-penerima adalah dari kalangan peniaga kecil/ penjaja yang masih tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk menjadi usahawan SITEC bagi perniagaan di dalam talian. Antara syarat-syarat yang diperlukan adalah seperti berikut :-

    • Perniagaan mestilah berdaftar dan perlu mengemukakan Borang 9, 24 dan 49 (Sdn. Bhd.) atau Borang D (Sendirian);
    • Perlu melampirkan penyata bank syarikat atau bank peribadi milik syarikat;
    • Mengemukakan bil utiliti seperti SYABAS atau TNB di premis sebagai bukti perniagaan dijalankan di dalam negeri Selangor;
    • Memiliki produk yang telah sedia ada dan pengeluarannya berterusan untuk dijual secara atas talian; dan
    • Pengeluaran produk mestilah stabil.

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk mengupayakan penerima-penerima Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan untuk diangkat ke satu peringkat yang lebih tinggi. Usaha ini dilaksanakan dengan menyediakan kursus-kursus peningkatan pengetahuan keusahawanan secara berfasa seperti pengurusan kewangan, kaedah pemasaran secara online, pensijilan, pembungkusan produk dan lain-lain di masa akan datang. Ini bagi memastikan mereka bersedia dan dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk bergelar usahawan SITEC di dalam talian.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.