Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

7) PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Noor Hanim Binti Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah pembasmian kemiskinan di peringkat Negeri Selangor dapat dikurangkan?

    Kerajaan Negeri Selangor amat serius dan sentiasa komited dalam usaha menangani masalah kemiskinan secara total dan efektif. Strategi utama pembasmian kemiskinan adalah memfokuskan kepada program-program ke arah mentransformasikan masyarakat miskin tegar dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

    Inisiatif dan usaha keras Kerajaan Negeri ini dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai program bantuan oleh pelbagai Jawatankuasa Tetap (STANDCO) dan Jabatan/Agensi untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan miskin di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup. Antaranya adalah seperti Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan, Program Back to School untuk Rakyat Miskin, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Program HIJRAH, Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp), Rumah Selangorku serta pelbagai lagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti dan Insentif Perkahwinan Belia.

    Berdasarkan kepada *Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan penurunan insiden kemiskinan daripada 0.4% pada tahun 2012 kepada 0.2% pada tahun 2014. Ini menunjukkan bahawa kadar kemiskinan di Negeri Selangor semakin menurun serta ia adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain.

    Maklumat tambahan:

    Jadual Insiden Kemiskinan Mengikut Etnik, Strata dan Negeri bagi tahun 1970 hingga 2014 daripada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah seperti di LAMPIRAN 1.

Lampiran

Tiada Lampiran.