Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

287) PEMBAYARAN CAJ PEMAJUAN

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kaedah pengiraan Caj Pemajuan dilakukan sebelum kebenaran merancang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

    Kaedah-kaedah Caj Pemajuan 2010 bagi Negeri Selangor telahpun diwartakan pada 25 November 2010 dengan No. Warta Sel.PU.36. Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor telah menerima pakai kaedah-kaedah ini dan melaksanakannya. Berdasarkan kaedah-kaedah tersebut, terdapat tiga (3) jenis perubahan yang menyebabkan kenaikan nilai yang dikenakan Caj Pemajuan

    iaitu:-

    1. Perubahan Penggunaan Tanah;

    Perubahan Penggunaan iaitu berlakunya peningkatan nilai tanah dengan adanya Rancangan Tempatan (RT). Contohnya kegunaan tanah dari pertanian kepada perumahan.

    1. Perubahan Ketumpatan;

    Perubahan Ketumpatan apabila berlakunya peningkatan kepadatan atau densiti pembangunan dengan adanya pengubahan Rancangan Tempatan.

    1. Perubahan Luas Lantai

    Perubahan Luas Lantai pula dikira jika terdapat penambahan Nisbah Plot (Plot Ratio) dengan adanya pengubahan Rancangan Tempatan.

    Terdapat dua Kadar Caj Pemajuan yang dikenakan iaitu mengikut takrif Pihak Berkuasa Tempatan. Bagi kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran, kadar yang dikenakan ialah 30% dari perbezaan nilai tanah akibat dari perubahan penggunaan tanah, perubahan ketumpatan dan perubahan luas lantai. Bagi kawasan Majlis Daerah pula, kadar yang dikenakan ialah 20% dari perbezaan nilai tanah akibat dari perubahan-perubahan tersebut.

    Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat juga, menurut Seksyen 22(4)(b), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172 dan Kaedah 6, Kaedah-kaedah Caj Pemajuan 2010 telah memperuntukkan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) tidak boleh memberikan Kebenaran Merancang selagi pemohon belum membayar caj pemajuan atau belum mendapat kebenaran PBPT untuk membayar caj pemajuan secara ansuran.

Lampiran

Tiada Lampiran.