Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

179) PEMBELAAN GOLONGAN IBU TUNGGAL

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membela nasib ibu tunggal di Negeri Selangor selain daripada Skim Kasih Ibu Smart Selangor _ KISS.

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat dalam membela kebajikan golongan ibu tunggal di Negeri Selangor. Selain daripada Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) oleh Kerajaan Negeri, pelbagai program lain turut disediakan oleh untuk dilaksanakan bagi tujuan pemberdayaan golongan ibu tunggal ini agar dapat berdikari dan menjana ekonomi keluarga sendiri tanpa hanya mengharapkan bantuan yang disediakan.

    Kerajaan Negeri sentiasa memberi galakan agar golongan ibu tunggal ini menceburi aktiviti keusahawanan dan perniagaan sekaligus dapat memberi ruang dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan wanita. Antaranya adalah program pendekatan yang memberi peluang pekerjaan atau perniagaan untuk menyara kehidupan golongan wanita ini iaitu Program Skim Mikro Kredit Hijrah yang mencatatkan penyertaan seramai 3,859 orang ibu tunggal yang telah dibantu dan menerima manfaat sehingga kini dengan jumlah nilai pinjaman perniagaan sebanyak RM26,366,500.00. Bidang perniagaan makanan, pembekalan, pemprosesan, penternakan, perkhidmatan dan pertanian adalah antara bidang perniagaan yang diceburi oleh golongan ibu tunggal ini.

    Selain daripada itu, melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB), seramai 12 orang ibu tunggal telah berjaya dilahirkan menjadi usahawan kecil yang memperoleh pendapatan daripada aktiviti keusahawanan yang dipelajari. Bidang pembuatan makanan, jahitan dan seni kraftangan adalah antara bidang perniagaan yang dilaksanakan. Berdasarkan rekod, terdapat usahawan kecil PWB ini berjaya menjana pendapatan sehingga RM6,000.00 sebulan.

Lampiran

Tiada Lampiran.