Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

146) PEMBERDAYAAN (EMPOWERMENT) WANITA SELANGOR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor yang membuktikan wanita diberdayakan?

    Pelan Tindakan Wanita Selangor telah dirangka untuk pemberdayaan wanita Selangor ke arah pembangunan masyarakat madani. Kerajaan negeri Selangor berhasrat agar wanita Selangor mendapat kesejahteraan menyeluruh tanpa mengenal darjat,pangkat atau status mereka. Wanita sejahtera secara kolektif boleh menghasilkan fenomena positif terhadap bidang ekonomi, sosial, politik, undang-undang, perundangan, alam sekitar,relasi gender (hubungan lelaki-wanita), kekeluargaan dan usaha-usaha problemsolving di peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa. Sehubungan dengan itu antara dasar yang dilaksanakan bagi mempemberdayakan wanita adalah seperti berikut:

    • Pemberdayaan wanita dalam bidang ekonomi

    Golongan sasaran adalah suri rumah, warga industri, wanita usahawan, wanita muda, remaja perempuan, wanita terpinggir dan wanita ibu tunggal. Di mana program ini menjadi tumpuan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor. Contohnya suri rumah yang berada dalam tahap kemiskinan kerajaan negeri Selangor akan memperkenalkan skim pemberdayaan wanita suri rumah dalam bentuk jaminan yang memelihara keuntungan kewangan suri rumah. Wanita warga industri juga akan dibantu dari masa ke semasa untuk meningkatkan kemahiran mereka dan menceburi bidang-bidang yang boleh memberikan mereka economic independence menerusi peluang-peluang keusahawanan.

    Begitu juga wanita usahawan merupakan tunggak pembangunan ekonomi negeri Selangor, golongan ini dipertingkatkan menerusi program mentor-mentee dan menetapkan dana khusus untuk menubuhkan, membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

    Sementara golongan wanita terpinggir tidak ketinggalan  diberi perhatian dalam program-program pembangunan dan pemberdayaan ekonomi menurut kesesuaian cara hidup dan kemahiran sedia ada seperti kursus kemahiran jangka pendek masakan, jahitan atau kraftangan.

    Melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Selangor golongan wanita ibu tunggal turut dibantu melalui skim mikrokredit atau insuran di samping akses terhadap peluang-peluang perniagaan dan bantuan kewangan.

    • Pemberdayaan Keluarga

    Golongan sasaran pemberdayaan keluarga dari wanita kerjaya di mana  ramai wanita dalam bidang pekerjaan memerlukan sistem sokongan dalam memelihara keluarga. Menyedari kepentingan dan keperluan itu, sistem sokongan dalam bentuk penjagaan anak-anak bagi ibu-ibu yang bekerja akan diwujudkan. Seperti elaun anak ke taska,  kemudahan cuti bersalin 90 hari, cuti isteri bersalin 14 hari dan cuti kematian suami 30 hari.

    • Meningkatkan kemahiran dan jati diri wanita

    Pembinaan jati diri wanita adalah diutamakan dalam rangka mencapai Pelan Tindakan Wanita Selangor. Golongan ini diberi tumpuan adalah mereka di bawah paras kemiskinan. Program jati diri ini telah dilaksanakan pada golongan ibu tunggal setiap tahun.

    • Kesihatan

    Sasaran kepada semua golongan wanita terutama untuk memberi perlindungan mangsa-mangsa rogol, mangsa-mangsa pemerdagangan manusia dan keganasan rumah tangga. Melindungi pekerja-pekerja wanita daripada bahayabahaya yang berkaitan pekerjaan dan member sokongan kesihatan emosi dan fizikal untuk warga emas. Kerajaan  negeri Selangor telah mewujudkan  OSCC (One Stop Crisis Centre) dan Skim Kesihatan Wanita (mammogram )

    • Pemberdayaan Wanita dalam Komuniti

    Pusat Komuniti Wanita ini bertujuan menjadi pusat perkembangan potensi wanita dalam komuniti di negeri Selangor. Ia terbuka kepada seluruh wanita agar dapat didedahkan dengan berbagai pengalaman,ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sehingga kini terdapat 18 buah Pusat Komuniti Wanita DUN yang aktif.

    • Pemberdayaan wanita dalam memahami hak-hak mereka

    Program sedia ada seperti kempen OSCC(One Stop Crisis Centre) akan diteruskan bagi menangani kes-kes penderaan dan keganasan seksual dan rumah tangga. Begitu juga Badan Sokongan Keluarga (Family Support Authority) akan diwujudkan untuk menguatkuasakan dan melaksanakan perintah mahkamah berhubung dengan nafkah,hadanah,pengurusan harta kanak-kanak dan perintah lain.

    Beberapa Enakmen akan diwujudkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri seperti keganasan terhadap wanita, kesaksamaan Gender dan Dasar berkaitan memberikan minimum 30% kedudukan pimpinan dalam pentadbiran negeri.

    Di samping memberi perlindungan mengenai hak-hak dan perlindungan kepada wanita dari consumer.

    • Pemberdayaan wanita muda dan remaja perempuan

    Golongan ini yang berumur 13-35 tahun juga diberi perhatian dengan member ilmu pengetahuan dan kemahiran khususnya dalam kerjaya, kekeluargaan,kesihatan, kemahiran seni dan budaya serta sukan.

    Pengetahuan yang cukup akan memastikan bahawa golongan ini berdaya untuk membuat pilihan terbaik bagi masa depan mereka.

    • Bidang-bidang lain Pemberdayaan Wanita

    Meliputi wanita dan alam sekitar, wanita media, wanita intelektual dan juga pemerdagangan manusia. Di mana Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Selangor akan sentiasa memberi sokongan di dalam penglibatan wanita contohnya pelancaran Majlis Anti Pemerdagangan Manusia (MAPMAS) pada 10 Januari 2011 di mana isu pemerdagangan manusia harus ditangani secara tegas dan bijaksana.

Lampiran

Tiada Lampiran.