Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

50) PEMBERHENTIAN / PEMBUANGAN KERJA RAKYAT DI SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Para analisis ekonomi dunia telah menjangkakan keadaan krisis ekonomi global yang tidak menentu sehingga 2010 yang melibatkan pemberhentian / pembuangan (retrenchment) di dalam industri yang terlibat. Dengan slogan Negeri Berkebajikan yang diuar-uarkan oleh pihak Kerajaan Negeri, apakah tindakan / insentif yang akan diberikan kepada rakyat Selangor yang kehilangan pekerjaan berikutannya.

    Menjadikan Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan adalah merupakan teras utama visi Kerajaan Negeri Selangor. Berdasarkan visi tersebut, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah dalam menangani isu berhubung pemberhentian pekerja seterusnya menjaga kebajikan mereka yang terlibat antaranya:

    1. Membuka kaunter pendaftaran khas bagi pendaftaran pekerja yang diberhentikan pada setiap hari Sabtu di setiap Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran di seluruh negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenal pasti bentuk bantuan menerusi program sedia ada yang boleh diberikan sama ada dalam bentuk bantuan sara hidup, pendidikan, sewa rumah, bantuan modal dan lain-lain;
    2. Membangunkan Selangor Retrenchment Helpline iaitu pendaftaran secara online bagi tujuan pengumpulan maklumat pekerja yang diberhentikan serta penyuaipadanan (match-making) antara pekerja tersebut dengan kekosongan di syarikat yang berdaftar di bawah sistem tersebut berdasarkan kelayakan;
    3. Membangunkan Selangor Career Exchange bertujuan memberi kemudahan pencarian peluang-peluang pekerjaan di dalam sektor awam di Selangor dan sektor swasta dalam skop yang lebih luas termasuk kepada para graduan dan pekerja yang diberhentikan; dan
    4. Menawarkan bantuan-bantuan latihan kepada pekerja yang diberhentikan dengan kerjasama institusi latihan di negeri Selangor yang mendapat tauliah daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia di mana elaun akan diberikan kepada pelatih sepanjang tempoh latihan dan ianya juga dapat mengurangkan kos operasi kepada majikan yang terlibat. Langkah ini juga membolehkan mereka yang diberhentikan diserap ke sektor yang masih memerlukan pekerja seperti pelancongan dan perhotelan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.