Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

134) PEMBERIAN AIR PERCUMA

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan jumlah pembiayaan air percuma dan pemegang akaun air yang mendapat air percuma bagi tahun 2008-2015 mengikut pecahan daerah.

     

    a) dan b)

     

    Saya ingin memberi respons kepada Y.B. Rawang berhubung jumlah pembiayaan air percuma dan pemegang akaun air yang mendapat air percuma bagi tahun 2008 hingga 2015 mengikut daerah. Untuk makluman

    Y.B. Rawang, jumlah pembiayaan air percuma mulai Jun 2008 hingga September 2015 adalah sebanyak RM1.054 bilion.

     

    Pecahan pembiayaan mengikut daerah adalah seperti yang akan saya cerakinkan iaitu (sekali lagi kalau diperlukan perincian saya akan serahkan secara bertulis kepada Yang Berhormat), tetapi secara umumnya jika kita bandingkan dengan tahun 2008 (mulai Jun) apabila program ini dilancarkan, jumlah bilangan akaun pengguna ialah 1,101,636 akaun dan sehingga 30 September 2015 ianya telah meningkat kepada 1,473,350 akaun pengguna. Dari segi jumlah pembayaran subsidi mulai Jun 2008 sehingga hujung tahun 2008, jumlah pembayaran subsidi ialah RM68.67 juta dan pada tahun 2015 ini oleh kerana jumlah pengguna juga telah meningkat, maka jumlah pembayaran subsidi meningkat kepada RM121.99 juta bagi tahun ini sahaja. Ada empat daerah yang mencatatkan bilangan akaun pengguna yang terbesar iaitu daerah yang terbesar ialah daerah Petaling dengan mencatatkan 272,362 akaun

    pengguna pada tahun 2008 dan meningkat kepada 358,887 akaun pengguna. Yang kedua adalah daerah Klang (pada tahun 2008) 239,707 akaun. Pada tahun ini ianya meningkat kepada 320,218 akaun pengguna. Dan seterusnya daerah-daerah yang lain akan saya serahkan secara bertulis kepada Yang Berhormat.

    Yang Berhormat juga ingin mendapat makluman tentang peruntukan Kerajaan Negeri untuk membaiki paip-paip air yang pecah. Sehingga 15 Oktober 2015, kos yang telah dibelanjakan untuk kerja-kerja membaiki paip-paip air yang pecah dan pengendalian sistem bekalan air adalah sebanyak RM677.95 juta. dan pembiayaan untuk kerja-kerja ini diperuntukkan di dalam Capital Expenditure atau CAPEX (syarikat pengendali agihan bekalan air) yang kemudiannya telah diterjemahkan dalam bentuk tarif kepada pengguna. Dengan muktamadnya pengambilalihan SYABAS oleh Air Selangor pada 15 Oktober 2015, Air Selangor akan mengkaji peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan paip-paip supaya kerja ini dapat  dilaksanakan dengan efisien dan efektif dan Air Selangor akan memperuntukkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM65 juta bagi kerja-kerja pembaikan paip pecah untuk tahun 2016.

Lampiran

Tiada Lampiran.