Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

120) PEMBERSIHAN SUNGAI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam usaha pembersihan dan pemuliharaan Sungai Selangor.

    Kerajaan Negeri melalui LUAS sentiasa prihatin di dlaam melaksanakan pelbagai usaha pembersihan dan pemuliharaan Sungai Selangor. Sungai Selangor dikategorikan sebagai sungai bersih dengan purata nilai indeks kualiti air (IKA) hingga Nov 2019 iaitu 80.8.

    Walau bagaimanapun, pelbagai usaha dan langkah-langkah kawalan telah dilaksanakan bagi memastikan pemeliharaan adan pemuliharaan Sungai Selangor. Antara langkah-langkah tersebut termasuklah :

    • Pelaksanaan Pelan Pengurusan bersepadu Lembangan Sungai Selangor dan hasil kajian berkaitan ;

    Pelaksanaan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM) melalui Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai Selangor (2015-2020) bersama-sama agensi lain yang berkaitan bagi pelaksanaan strategi-strategi melalui empat (4) polisi iaitu :

     

    Polisi 1 : Memastikan air mencukupi;

    Polisi 2 : Memastikan air bersih;

    Polisi 3 : Perlindungan daripada banjir; dan

    Polisi 4 : Pemuliharaan kelip-kelip dan ekosistem.

    Di samping itu, pelaksanaan pemantauan berjadual hasil kajian inventori aktiviti guna tanah Sungai Sembah dan anak-anak sungainya di mana 155 kawasan dikenal pasti berpotensi menyumbangkan kepada pencemaran.

    • Memantau dan mengawal pencemaran Sungai Selangor;

    Sekiranya sesuatu pencemaran sungai berlaku, Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor yang diurusetiakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan dianggotai oleh agensi kerajaan dan pihak berkepentingan berkaitan yang akan membuat siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut dan seterusnya mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengatasi masalah pencemaran tersebut dengan kadar segera termasuklah kerja pembersihan dan seterusnya mengambil tindakan undang-undang.

    Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala juga dijalankan melalui Jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor dan Pasukan Petugas Lembangan Sungai Selangor di mana kedua-duanya dilaksanakan 4 kali / tahun.

    Pewartaan kawasan tadahan air empangan Sungai Selangor dan rizab sungai sebagai Zon perlindungan di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999 dan pemantauan Zon Perlindungan Kawasan Tadahan Air Empangan Sungai Selangor dilaksanakan secara berkala bagi mengelakkan pencerobohan.

    • Pelaksanaan penguatkuasaan bersepadu dan tindakan undang-undang yang tegas;

    Kerajaan Negeri adalah tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran sungai. Tindakan terhadap pencemar boleh tertakluk kepada jenis pencemaran boleh diambil melalui :

    • Enakmen LUAS 1999 dan peraturan-peraturan (Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 serta Peraturan berkaitan;
    • Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Effluen-Effluen Perindustrian), 1979 serta Peraturan berkaitan;

       

      1. c) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Peraturan berkaitan;

       

      1. d) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 ; dan

       

      1. e) Kanun Tanah Negara 1965.

       

      1. iv) Tindakan jangka masa pendek dan jangka masa panjang menangani pencemaran sumber air.

       

      Melalui keputusan yang disahkan di dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 30/2019; LUAS telah diminta menyelaraskan dengan semua jabatan dan agensi terlibat seperti JAS dan IWK untuk mengemukakan cadangan jangka pendek dan jangka panjang kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan dan menangani insiden pencemaran sumber air seperti pencemaran bau yang berlaku baru-baru ini.

       

      Justeru, melalui Mesyuarat Pengurusan Tertinggi (High Level Meeting) menangani pencemaran sumber air di Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Y.B. Tuan Ir. Izham bin Hashim dan dianggotai oleh jabatan dan agensi-agensi berkepentingan, Pelan Tindakan Bersepadu menangani pencemaran sumber air Negeri Selangor diwujudkan bagi jangka masa pendek (tindakan serta-merta/kurang 2 tahun) dan jangka masa panjang (tindakan/pelaksanaan melebihi 2 tahun).

       

      Antara cadangan tindakan jangka masa pendek merangkumi;

       

      1. a) Mengemaskini inventori aktiviti guna tanah di rizab sungai dalam Sistem Maklumat Geografi (GIS);
      2. b) Mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan perundangan yang tegas;
      3. c) Mengeluarkan perintah berhenti kerja sehingga langkah pembaikan dilaksanakan bagi mana-mana projek tertakluk EIA;
      4. d) Memastikan operator pembentungan awam (IWK) menyediakan pegawai bertugas 24 jam bagi loji kumbahan berskala besar;
      5. e) Menyediakan sistem pemantauan awal ‘early warning system’ dengan pembangunan stesen telemetri kualiti air di kawasan strategik hulu muka sauk; dan
      6. f) Mempergiatkan pemantauan dan tindakan bersepadu bagi premis berlesen di bawah PBT.

       

      Antara cadangan tindakan jangka masa panjang merangkumi :

       

      1. a) Kajian semula perundangan Enakmen LUAS 1999 dan Peraturan kemasukan atau pelepasan bahan pencemar Negeri Selangor 2012;
      2. b) Mengkaji semula dan pengemaskinian AKAS 1974 dan Peraturan di bawahnya;
      3. c) Menaik taraf loji rawatan kumbahan dan merancang dari segi pembangunan Centralized Sewerage Treatment Plant (CSTP);
      4. d) Merancang bagi cadangan naik taraf sistem rawatan air konvensional di Loji Pembersihan Air utama; dan
      5. e) Perancangan pembangunan secara bersepadu bagi melindungi sumber air;

       

      1. v) Pelaksanaan aktiviti kesedaran awam tentang kepentingan memelihara dan memulihara Sungai Selangor.

       

      Menganjurkan aktiviti kesedaran awam dengan melibatkan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memberi pendedahan akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar yang seterusnya menjamin bekalan air serta mengekalkan kualiti hidup masyarakat sejahtera. Antara aktiviti yang telah dijalankan oleh LUAS ialah seperti berikut :

      • a) Program Qua-Qua yang melibatkan komuniti dan pelajar sekolah dalam pemantauan kualiti air sungai;
      • b) Pelaksanaan Program Sahabat Sungai / Friends of River (FoR) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Komuniti;
      • c) Program Pembersihan sungai dan pantai;
      • d) Penanaman semula pokok berembang dan bakau di lembangan Sungai Selangor; dan
      • Program sungai dan pantai angkat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.