Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

213) PEMBINAAN 3 PUSAT KEBUDAYAAN DI TEBING SUNGAI KLANG

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri masih berhasrat membina 3 Pusat Kebudayaan di tebing Sungai Klang bagi komuniti Melayu, India dan Cina? Jika tidak, nyatakan sebabsebabnya dan alternatifnya.

    Sukacita dimaklumkan, adalah menjadi hasrat dan inspirasi Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembangunan Pusat Kebudayaan Melayu, Cina dan India di Negeri Selangor ini dalam usaha menghargai dan memartabatkan kepelbagaian kesenian dan kebudayaan yang harmoni di dalam masyarakat.

    Perancangan asal adalah supaya pembangunan ketiga-tiga Pusat Kebudayaan Negeri Selangor ini adalah selari dengan pengumuman pakej rangsangan pembangunan Sungai Klang yang akan menempatkan Pusat-pusat Kebudayaan Negeri Selangor ini di sepanjang Sungai Klang. Pembangunan Sungai Klang yang dijangka akan mengambil masa sekitar 30 tahun turut dijangka akan menelan belanja sebanyak RM70bilion. Memandangkan kos pembangunan yang begitu besar, Kerajaan Negeri harus meneliti perkara-perkara teknikal supaya perancangan dan pemajuan ini dapat berjalan lancar dengan mengambil kira kepentingan-kepentingan stakeholders yang berkenaan.

    Semenjak pembangunan ini dicadangkan seawal tahun 2012 yang lalu terdapat banyak halangan dan kekangan bagi melaksanakan pembangunan Pusat Kebudayaan ini. Antara punca kekangan-kekangan ini adalah kos jangkaan yang amat tinggi di mana ia dijangkakan akan menelan belanja sebanyak RM300 juta sehingga siap sepenuhnya. Pada masa yang sama proses pengambilan semula tanah di tapak-tapak yang dicadangkan dikhuatiri akan menjejaskan sosioekonomi dan demografi Bandar Klang sebagai Bandar Diraja yang perlu dijunjung dan dihormati. Ini adalah kerana kawasan cadangan turut melibatkan tanah komersial bernilai tinggi di samping kesan-kesan yang lain melibatkan faktor ekonomi, dan sosial yang perlu diperhalusi.

    Oleh yang demikian, berdasarkan kekangan-kekangan tersebut, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor berhasrat untuk mewujudkan Pusat Kebudayaan Negeri Selangor yang akan menjadi pusat aktiviti-aktiviti kesenian dan kebudayaan di negeri ini. Pusat Kebudayaan Negeri Selangor ini turut akan memaparkan kepelbagaian kebudayaan etnik dan kaum yang berada di negeri Selangor dan seterusnya akan menjadi simbol perpaduan yang utuh dan makmur di kalangan rakyat negeri ini.

    Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor masih belum memutuskan cadangan lokasi dan kos bagi tujuan pembangunan Pusat Kebudayaan Negeri Selangor yang dicadangkan. Kesesuaian lokasi dan implikasi kewangan bagi pelaksanaan projek ini akan diperhalusi dengan kerjasama yang komprehensif di antara Kerajaan Negeri dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.