Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

80) PEMBINAAN KIOSK

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri berhasrat membina lebih banyak kiosk untuk menggalakkan rakyat berniaga?

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyediakan hub- hub perniagaan dan kiosk untuk usahawan berniaga di seluruh Negeri Selangor. Hub-hub perniagaan sedia ada akan diberikan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung melawati hub-hub tersebut. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Oktober 2018 antara lain telah memutuskan supaya promosi dan pameran hasil produk Negeri Selangor diadakan di kawasan tumpuan pelancong seperti di Uptown Shah Alam, Uptown Damansara, Pasar Tani, Bazarena Shah Alam dan pasar-pasar lain yang sesuai untuk dimasukkan di dalam pakej pelancongan sebagai salah satu insitiatif bagi menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.

    Kerajaan Negeri lebih menumpukan kepada pembangunan promosi bagi hub-hub sedia ada dan dalam masa yang sama merancang untuk menggalakkan lebih ramai usahawan berniaga melalui hub virtual dan tidak lagi berbentuk statik. Peralihan medium perniagaan kini lebih memfokuskan kepada perniagaan berbentuk alam maya. Sebagai contoh platform atas talian seperti Lazada, Shoppe, Fashion Valet, GroupOn, Zalora, Alibaba.com dan lain-lain. Mekanisme ini dilihat lebih dekat dengan pembeli / pengguna dan usahawan wajar mengambil inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui SITEC yang menawarkan fasiliti penjualan produk melalui atas talian. Penglibatan usahawan di dalam hub virtual dilihat sebagai kaedah yang dapat meluaskan pasaran dengan lebih cepat dan kos efektif.

Lampiran

Tiada Lampiran.