Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

154) PEMBINAAN MUZIUM

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan bercadang untuk mewujudkan setiap daerah di Selangor mempunyai muzium tersendiri untuk menyimpan sejarah dan khazanah berharga yang yang terdapat di daerah tersebut?

    Secara dasarnya memang Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) merancang untuk menubuhkan muzium atau galeri disetiap daerah di negeri Selangor. Program ini dirancang atas dua (2) dasar atau keperluan, iaitu memenuhi latar belakang sejarah daerah-daerah tersebut dan keduanya bagi pembangunan produk dan destinasi pelancongan.

     

    Dua ketegori muzium atau galeri telah dan akan dibangunkan iatu muzium bercirikan sejarah tempatan dan muzium berkhusus dengan berbagai tema.

     

    Bagi muzium bercirikan sejarah dan multi disiplin yang sedia ada ialah Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam dan Muzium Sejarah di Bukit Malawati Kuala Selangor. Terdapat juga muzium-muzium bertema iaitu Muzium Pertanian dan Perikanan di Sabak Bernam dan Muzium Insitu di Jugra.

     

    Pada masa ini PADAT sedang membangunkan beberapa buah muzium yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri iaitu Muzium Sejarah dan Bijih Timah di Gedung Raja Abdullah, Klang, Muzium Setem (Muzium Pos) di Shah Alam, Muzium Tekstil dan Fesyen di Bangunan Anggerik, Shah Alam, Muzium Sukan di Stadium Shah Alam, Shah Alam, Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati, Kuala Selangor dan “Living museum Istana Bandar” Kuala Langat Selangor.

     

    Bagi jangka panjang PADAT bercadang untuk mengasingkan Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam kepada Muzium Pertanian yang akan dikekalkan di Sabak Bernam dan Muzium Perikanan dirangka untuk ditubuhkan di Sepang. DYMM Sultan Selangor menitahkan, bagi melestarikan sistem penghasilan padi sebuah muzium padi akan dibangunkan di daerah Sabak Bernam. Pembangunan Pusat Penerangan atau galeri sedang dirangkakan bagi menaiktaraf galeri sedia ada kerana terdapat keperluan yang berdasarkan latar belakang sejarah tempatan atau daerah tersebut. Program ini merangkumi penubuhan Pusat Penerangan Perusahaan Perlombongan Arang Batu di Batu Arang, Gombak, Pusat Penerangan Pekan Kuala Kubu (pekan lama Kuala Kubu yang tenggelam) di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor dan Pusat Rekreasi Kapal Korek Bijih Timah Seri Banting di Sepang.

Lampiran

Tiada Lampiran.