Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

70) PEMBINAAN RUMAH KOS RENDAH DAN KOS SEDERHANA RENDAH

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri menyediakan garis panduan untuk pembinaan rumahrumah di mana salah satu syarat projek pembinaan rumah-rumah di taman perumahan baru ialah pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah?

    Setiap pembangunan tanah yang dijalankan di Negeri Selangor perlu mematuhi Dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Dasar Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa pembangunan tanah yang melebihi 10 ekar dalam kawasan Lembah Klang akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 20% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana manakala kawasan di Luar Lembah Klang pula akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 10% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana. Bagi pembangunan yang kurang daripada 10 ekar (2 hingga kurang 10 ekar) pula, syarat penyediaan 30% rumah kos sederhana akan dikenakan bagi kawasan Lembah Klang.

    Di samping menggunapakai dasar pembangunan sedia ada, Kerajaan Negeri dari masa ke semasa sentiasa menambahbaik dan mengkaji semula dasar sedia ada tersebut termasuk memperkenalkan Perumahan Mampu Milik Selangor Konsep Baru. Ini merupakan satu alternatif kepada pemaju bagi menyediakan rumah mampu milik khususnya di kawasan-kawasan yang berlaku lebihan pembinaan rumah kos rendah. Melalui cara ini sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri dapat memperbanyakkan penyediaan rumah di bawah harga RM120,000 yang mampu dibeli dengan kemudahan yang lebih selesa berbanding rumah kos rendah.

Lampiran

Tiada Lampiran.