Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

137) PEMBINAAN RUMAH SELANGORKU PROJEK RESIDENSI JAYA DI CHERAS

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah penyelesaian yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap masalah projek rumah Residensi Jaya di Cheras yang telah terbengkalai sehingga kini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, projek Rumah Selangorku Residensi Jaya merupakan projek Rumah Selangorku yang telah dikelaskan sebagai projek di bawah pemerhatian khas oleh pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) pada 19 April 2019 memandangkan masih tiada kemajuan pembinaan di lapangan. Hasil siasatan mendapati, pemaju mengalami masalah aliran tunai dan usaha meneruskan pembinaan melalui usahasama dengan pemaju baharu turut tergendala.

    Pada 14 Oktober 2019, Projek Residensi Jaya telah diisytihar sebagai projek bermasalah dan usaha untuk mengurus dan memulihkan projek telah diserahkan kepada syarikat Penerima dan Pengurus (P&P) Grant Thorton Consulting Sdn Bhd berikutan berikutan pengisytiharan muflis terhadap pemaju berkenaan

    Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu yang dihadapi oleh pihak yang terlibat seperti berikut: –

    i. Mengadakan beberapa siri perbincangan sejak 25 Oktober 2019 dengan pihak yang terlibat seperti syarikat P&P, wakil pembeli, syarikat penglikuidasi dan badan perbankan bagi membincangkan pelan pemulihan projek.

    ii. Satu sesi perjumpaan di antara agensi dan jabatan kerajaan dengan para pembeli telah diadakan pada 14 Februari 2020 bagi membentangkan status projek disamping bertujuan mengemaskini dokumentasi para pembeli supaya urusan memulihkan projek dapat dijalankan dengan lancar.

    iii. Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan pihak P&P dalam usaha mengenal pasti pemaju penyelamat bagi memastikan pemaju mempunyai keupayaan dari aspek kewangan dan pengalaman untuk memulihkan projek.

    iv. Selain daripada itu, LPHS turut menawarkan unit Rumah Selangorku yang telah atau separa siap kepada para pembeli yang terkesan.

    v. LPHS juga menyediakan khidmat nasihat dari aspek perundangan dan memudahcara urusan para pembeli dalam urusan pembatalan perjanjian jual beli.

    Sehingga 15 Oktober 2020, usaha memulihkan projek tersebut sedang giat dijalankan oleh syarikat pemaju penyelamat dimana mereka telah mengemukakan cadangan penyelesaian awal kepada para pembeli untuk perbincangan lanjut sebelum ianya dimuktamadkan. Sekiranya dipersetujui, cadangan tersebut akan diangkat untuk pertimbangan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) seterusnya difailkan untuk mendapatkan arahan penyelesaian daripada pihak mahkamah.

Lampiran

Tiada Lampiran.