Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

65) Pembuangan Sampah Secara Haram Di Luar Kawasan Operasi Pihak Berkuasa Tempatan

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan dan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi mengatasi dan mengurangkan aktiviti pembuangan sampah haram di dalam seliaan PBT dan bukan seliaan PBT kawasan terbabit?

    Tindakan dan langkah-langkah yang diambil oleh PBT bagi mengatasi dan mengurangkan aktiviti pembuangan sampah haram di dalam kawasan seliaan PBT dan bukan seliaan PBT kawasan adalah seperti berikut:-

    1. Menjalankan rondaan/pemantauan berkala dan menjalankan operasi di kawasan hotspot dengan pakaian preman;

    2. Bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi mendapatkan maklumat dan tindakan penangkapan terhadap pesalah;

    3. Memulakan penggunaan kamera litar tertutup mudah alih (Mobile CCTV) di lokasi-lokasi hotspot pembuangan sampah haram untuk dijadikan bukti kukuh bagi membawa pesalah ke peringkat pendakwaan;

    4. Menyita kenderaan pengangkut sampah/ lori yang membuat kesalahan serta mengenakan kompaun maksimum dan kos operasi penguatkuasaan sitaan lori;

    5. Bagi kawasan-kawasan kampung seperti kampung tradisi dan kampung baru/bagan/tersusun, Kerajaan Negeri melalui PBT ada menyediakan perkhidmatan kutipan sampah berjadual secara berpusat dengan menyediakan tong leach bin di lokasi yang strategik bagi memudahkan penduduk kampung membuang sampah di tong sampah tersebut; dan
    6. Bagi tapak pelupusan sampah haram yang berskala besar terutamanya yang dikawal oleh pengusaha di tanah persendirian, PBT dengan kerjasama PDT akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan akan mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang diperkenalkan melalui Arahan Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Selangor (PTGS) Bil.1/2019 yang membawa kepada perampasan tanah di bawah Akta Kanun Tanah Negara 1965.

    Bagi maklumbalas pertanyaan Yang Berhormat Jeram, setakat ini tiada tapak pelupusan haram direkodkan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di kawasan DUN Jeram.

Lampiran

Tiada Lampiran.