Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

73) PEMELIHARAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk menjunjung Perjanjian Cancun?

    Perjanjian Cancun adalah satu perjanjian dan keputusan signifikan oleh komuniti antarabangsa untuk menangani cabaran jangka masa panjang perubahan iklim secara kolektif dan komprehensif serta bertujuan untuk mengambil tindakan konkrit untuk meningkatkan tindak balas global. Perjanjian ini dibuat pada 11 Disember 2010 di Cancun, Mexico semasa persidangan 2010 United Nations Climate Change Conference.

    Bagi menangani isu perubahan iklim secara bersepadu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah menyediakan Dasar Perubahan Iklim Negara yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 20 November 2009. Dasar ini digubal bagi mengarusperdanakan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Kementerian dan agensi dalam mengambil tindakan menangani isu perubahan iklim.

    Dalam usaha mengurangkan emisi karbon berdasarkan intensiti karbon sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020 berbanding tahun 2005, Kerajaan telah menyediakan kerangka atau Road Map yang meliputi tiga program utama iaitu, Kecekapan Penggunaan Tenaga (Energy Efficiency EE), Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy – RE) dan Pengurusan Sisa Pepejal.

    Bagi program EE, Kerajaan Negeri akan memberikan insentif melalui diskaun kepada Infrastructure Service Fund (ISF) untuk membangunkan bangunan hijau (Green Building).

    Bagi Program RE, Kerajaan Negeri akan membangunkan mikro hidro di desa dan luar bandar. Salah satu tempat yang telah dibina mikro hidro berlokasi di Kg Orang Asli Tanjung Rambai Genting Peras, Hulu Langat.

    Bagi pengurusan sisa pepejal pula, EXCO Kerajaan Tempatan dicadangkan untuk mengaji projek-projek ‘waste to energy’. PBT-PBT juga disyorkan untuk sertai Program SEDA. Selain daripada itu, Garis Panduan Kejiranan Hijau telah diluluskan untuk dilaksanakan di semua PBT, dan dipandu oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD).

    Di samping program-program utama seperti yang telah dinyatakan, keluasan hutan Negeri juga harus dikekalkan pada tahap sekurang-kurangnya 31% daripada jumlah keluasan tanah Negara. Ini untuk menjamin penyerapan dan penyimpanan karbon dioksida secara berterusan.

    Bagi usaha mengurangkan emisi karbon dalam jangka masa panjang, Kerajaan Negeri pada 3 April 2013 telah komisyenkan satu kajian yang komprehensif dan terperinci untuk menetapkan kriteria dan ukuran pengurangan Green House Gases (GHG).

Lampiran

Tiada Lampiran.