Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

242) PEMERKASAAN INSTITUSI KEHAKIMAN SYARIAH DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha pihak Kerajaan Negeri untuk memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah di Negeri Selangor daripada tiga (3) peringkat kepada empat (4) atau lima (5) peringkat?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah Selangor.  Sebagai contoh pada tahun 2015, Kerajaan Negeri Selangor telah meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang melibatkan kenaikan had bidang kuasa mendengar tuntutan kes-kes Mal bagi Mahkamah Rendah Syariah daripada nilai tuntutan tidak melebihi RM100,000.00 kepada tidak melebihi RM300,000.00 dan bagi Mahkamah Tinggi Syariah pula, had bidang kuasa mendengar tuntutan kes-kes Mal dinaikkan daripada nilai tuntutan melebihi RM100,000.00 kepada melebihi RM300,000.00.

    Berhubung dengan itu Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor telah  cadangan untuk menaikkan tingkat (tier)  Mahkamah Syariah daripada tiga “tier” kepada empat atau lima “tier”. Usaha ini sedang  giat dilaksanakan oleh satu jawatankuasa yang diselaraskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebagai sebuah agensi  Persekutuan yang bertanggungjawab untuk menyelaras Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia.

    Sejak tahun 2019, Jawatankuasa ini telah menganjurkan beberapa siri mesyuarat dan bengkel, yang antara lain, membincangkan struktur dan tier baharu Mahkamah Syariah dan perubahan bidang kuasa setiap tier mahkamah. Memandangkan cadangan ini melibatkan suatu perubahan yang besar kepada institusi kehakiman Syariah, ia memerlukan suatu kajian yang terperinci dan akan melibatkan perundingan dengan berbagai-bagai pihak sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri. Oleh yang demikian, pada tahun ini, pihak JKSM telah merancang untuk menganjurkan beberapa siri bengkel lanjutan bagi menyelesaikan penyediaan kertas cadangan pemerkasaan  bidang kuasa mahkamah Syariah tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.