Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

85) PEMERKASAAN USAHAWAN KECIL DAN SEDERHANA

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan kecil dan sederhana untuk meluaskan pasaran produk di peringkat nasional dan antarabangsa?

    Antara langkah – langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan kecil dan sederhana untuk meluaskan pasaran produk ke peringkat nasional dan antarabangsa seperti berikut;-

     

    1. Bantuan dalam mengembangkan pasaran produk IKS – Dalam usaha membantu syarikat IKS di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor telah menyediakan medium atau platform yang boleh membantu usahawan – usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan pasaran ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan usahawan – usahawan tempatan dalam pameran yang diadakan di dalam dan luar negara seperti program Selangor International Business Summit, Penang International Halal Expo 2019, Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2019, The world Food & Beverage Great EXPO / Premium Food Show 2019 Japan, HOFEX Hong Kong 2019, SIAL Jakarta 2019 dan lain – lain dimana sebahagian kos penyertaan ditanggung oleh Kerajaan Negeri melalui peruntukkan Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan dan IKS Negeri Selangor.

     

    Disamping penyertaan dalam pameran yang diadakan, pihak Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor juga turut membantu pihak syarikat untuk mengadakan pertemuan “Business Matching” bersama “Potential Buyers” sewaktu penyertaan di dalam program – program pameran di peringkat antarabangsa.

     

    1. Bantuan Pemasaran Produk Secara Atas Talian (Online) – melalui program ini, Kerajaan Negeri melalui SITEC menyediakan latihan kemahiran kepada usahawan – usahawan IKS yang berminat untuk memasarkan produk keluaran mereka secara atas talian (online).

     

    • Program Pembungkusan Produk Made In Selangor (MIS)

    Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana setiap tahun bagi memperkasakan dan melahirkan usahawan berjaya di dalam Negeri Selangor. Program sebegini adalah usaha untuk memberi value added kepada produk tempatan agar dapat meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke pasaran antarabangsa (market penetration and expansion).  Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri mengadakan Program Pembungkusan Produk Made In Selangor (MIS) kepada usahawan yang sudah bersedia untuk mempertingkatan kualiti pembungkusan dan pensijilan produk.  Peserta yang mengikuti program ini akan menerima pensijilan produk, rekabentuk jenama, pendaftaran  jenama (MyIPO) dan cetakan pembungkusan yang diperbaharui.

Lampiran

Tiada Lampiran.