Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

140) PEMILIHAN USAHAWAN

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Negeri Selangor telah banyak membantu usahawan seperti sasaran yang ditetapkan?

    Adalah menjadi dasar dan hasrat serta objektif utama Kerajaan Negeri untuk membantu usahawan-usahawan di Negeri Selangor. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor sentiasa menganjurkan program-program untuk membantu pengembangan usahawan. Kelompok sasaran usahawan di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor adalah usahawan mikro yang nilai jualan tahunan mereka kurang daripada RM300 ribu ataupun mempunyai bilangan pekerja sepenuh masa kurang daripada 5

     

    Walaupun sasaran yang ditetapkan adalah usahawan mikro, Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan usahawan-usahawan secara kecil-kecilan di kampung dan juga di desa. Kesemua usahawan ini merupakan penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan tidak harus diketepikan.

     

    Sehubungan itu, pada tahun 2015, Kerajaan Negeri telah memperkasakan Dana Industri Kampung yang dahulunya hanya memfokus kepada usahawan kecil-kecilan di Kampung dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM50 ribu kepada Dana Usahawan Mikro Selangor dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM300 ribu. Berbanding Dana Industri Kampung sebelum ini yang hanya mensasarkan sebanyak 100 penerima bantuan setahun, Dana Usahawan Mikro Selangor mensasarkan sebanyak 113 penerima bantuan bagi tahun 2015. Jumlah perbezaan itu nampak seperti kecil iaitu hanya 13 sahaja tetapi, harus ditekankan disini bahawa bukan sekadar nilai penerima bantuan sahaja yang dinaikkan, tetapi jumlah had siling bantuan juga dinaikkan dari RM10 ribu per permohonan kepada RM30 ribu per permohonan.

     

    Berpandukan kelulusan-kelulusan yang dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan Dana Usahawan Mikro Selangor peringkat Daerah dan Negeri, sehingga ke 19

     

    Oktober 2015, seramai 76 permohonan telah diluluskan. Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah menetapkan tarikh terakhir bagi bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor adalah pada 16 November 2015 dan dijangkakan jumlah sasaran tersebut akan dapat dicapai.

     

    Selain daripada itu, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor juga turut menganjurkan aktiviti promosi dan sesi latihan / kursus. Di sepanjang tahun 2015, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah menganjurkan / menyertai sebanyak 6 aktiviti promosi dan jumlah keseluruhan peserta adalah seramai 187 usahawan, manakala bagi program latihan  /  kursus pula, sebanyak 5 siri telah dilaksanakan dan jumlah keseluruhan peserta adalah seramai 156 usahawan.

     

    Program latihan / kursus tidak terhenti setakat itu sahaja, mulai 27 Oktober  2015 sehingga 3 Disember 2015, sebanyak 6 latihan / kursus akan dilaksanakan dengan jumlah sasaran peserta bagi setiap kursus ataupun sesi latihan adalah seramai 50 peserta. Jumlah 50 peserta ini ditetapkan setelah mengambil kira keselesaan bilik kursus supaya penceramah ataupun tenaga pengajar dapat memberi tumpuan kepada para peserta berbanding kursus ataupun latihan yang dianjurkan dengan bilangan peserta yang ramai.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.