Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

110) PEMILIKAN TANAH

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Syarat-syarat yang ketat untuk pemilikan tanah kediaman oleh Kerajaan Negeri menyebabkan permohonan ditolak. Adakah Kerajaan bercadang untuk membantu mereka yang berkelayakan (miskin) untuk memiliki tanah?

    Syarat-syarat yang ditetapkan dalam pemberimilikan tanah Kerajaan oleh Kerajaan Negeri adalah jelas iaitu Tanah Kerajaan berkenaan hendaklah tanah yang telah lama diduduki atau didiami dan pemohon adalah pihak yang berkelayakan seperti yang telah diperuntukan di dalam Seksyen 43 Kanun Tanah Negara. Berdasarkan Pekeliling PTGS Bil. 6/2011 (Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian Di Negeri Selangor), pengusaha asal yang telah mengusahakan atau menduduki tanah sekurang-kurangnya tiga (3) tahun pada tarikh 1 Januari 2008 adalah berkelayakan diberikan kelulusan permohonan. Bagi membantu mereka, Kerajaan Negeri telah memberikan pilihan kaedah pembayaran premium tanah melalui dua (2) kaedah yang telah ditetapkan.

    Selain daripada kriteria-kriteria atau syarat-syarat di atas, Kerajaan Negeri juga boleh mempertimbangkan kelulusan pemberimilikan kepada pemohon yang memohon tapak kediaman secara berkelompok atau individu. Asas pertimbangan yang akan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri adalah berdasarkan objektif berikut;

    1. Menyelesaikan masalah orang ramai berkaitan ketidakmampuan menjelaskan bayaran premium tanah;
    2. Memberi peluang kepada rakyat Negeri Selangor membuat pilihan untuk menentukan kaedah pembayaran premium mengikut kemampuan masing-masing;
    3. Membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan isu pendudukan setinggan di atas Tanah Kerajaan; daan
    • Mempertingkatkan aspek urus tadbir dalam Pentadbiran dan Pengurusan Tanah Negeri Selangor.

     

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Pemberimilikan Kediaman melalui Pekeliling PTGS, Bilangan 6/2011 (Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian Di Negeri Selangor) yang menawarkan dua pilihan kaedah bayaran samada bayaran nominal RM1,000 atau diskaun 30% daripada bayaran premium yang dikenakan sekiranya dibayar dalam tempoh notis.

    Selain itu, Kerajaan Negeri telah memberi pilihan kaedah bayaran kepada pemohon untuk menjelaskan bayaran premium melalui Pekeliling PTGS Bilangan 1/2016 (Kaedah Pembayaran Premium dan Premium Tambahan Ke Atas Kelulusan Permohonan Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Di Negeri Selangor) seperti berikut:-

    Melanjutkan tempoh bayaran premium dan premium tambahan seperti berikut:-

     

    Pembayaran premium

    Notis Borang 5A

    12 bulan
    Pembayaran premium tambahan Notis Borang 7G 6 bulan + 1 bulan

    (tambahan caj 3%)

    Pengurangan bayaran premium sehingga 42% melalui pemendekkan tempoh pegangan pajakan daripada 99 tahun kepada 60 tahun.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.