Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

22) PEMOHONAN TANAH

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan untuk menyelesaikan masalah pemohonan tanah di Batu Arang, Taman Bukit Rawang Jaya dan Kampung Sungai Terentang?

    Antara tindakan yang sedang dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDT Gombak) untuk menyelesaikan masalah pemohonan tanah di Batu Arang, Taman Bukit Rawang Jaya dan Kampung Sungai Terentang adalah seperti berikut:

    Masalah Permohonan Tanah Di Batu Arang

    PDT Gombak telah mengumpulkan kesemua permohonan pemberimilikan di bawah Seksyen 76, Kanun Tanah Negara (KTN) di kawasan Batu Arang dan sedang memprosesnya secara berkelompok mengikut kawasan yang dimohon seperti berikut:

    i. Kampung Melayu Tambahan;
    ii. Kampung Melayu Kilang Papan;
    iii. Bukit Nanas;
    iv. Jalan Station;
    v. Kawasan Perniagaan Pekan Batu arang;
    vi. Kampung Melayu OC 8;
    vii. Simpah Utara;
    viii. Simpah Selatan; dan
    ix. OC 8

    Semakan awal PDT Gombak mendapati terdapat beberapa permohonan bertindih di atas tapak yang sama. Sehubungan itu, PDT Gombak akan mendapatkan pengesahan daripada Yang Berhormat selaku Ahli Dewan Negeri Rawang untuk menentukan pemohon mana yang terlebih dahulu mengusahakan tapak yang dimohon.

    Selain itu, pelan pra-hitungan yang disediakan oleh juruukur berlesen yang dilantik oleh pemohon tidak mengambil kira pelan susun atur asal di Batu Arang di mana ini telah menyebabkan PDT Gombak perlu menyemak secara lebih terperinci bagi mengelakkan pertindihan dengan tanah hakmilik yang berstatus sementara (belum diukur halus).

    Masalah Permohonan Tanah Di Taman Bukit Rawang Jaya

    Isu utama di Taman Bukit Rawang Jaya ialah pihak pemaju dan pemilik tanah iaitu Syarikat Rawang Industrials & Property Sdn. Bhd. tidak menyelesaikan terlebih dahulu urusan pecah sempadan tanah dan menyebabkan hakmilik individu tidak dapat dikeluarkan kepada pembeli-pembeli rumah terbabit.

    Selain itu, hakmilik syarikat tersebut telah dibatalkan pada 2 Mac 2017 kerana syarikat berkenaan gagal menjelaskan bayaran tunggakan cukai tanah dan tanah tersebut telah kembali menjadi tanah Kerajaan.

    Oleh yang demikian, seramai 168 pembeli rumah tersebut telah mengemukakan permohonan pemberimilikan di bawah Seksyen 76 KTN pada tahun 2017 dan 2018. PDT Gombak telah memproses kesemua permohonan tersebut dan status terkini adalah Kertas Ringkasan telah disediakan untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri.

    Semakan lanjut PDT Gombak mendapati seramai hampir 200 pembeli masih belum mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah. Sehubungan itu, PDT Gombak bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Yang Berhormat dan Jawatankuasa Bertindak bagi menyelesaikan isu permohonan tanah daripada penduduk-penduduk tersebut.

    Masalah Permohonan Tanah Di Kampung Sungai Terentang

    Semakan PDT Gombak mendapati isu utama di Kampung Sungai Terentang ialah berkaitan permohonan melanjutkan tempoh pajakan. PDT Gombak telah memproses permohonan berkenaan dan status terkini adalah seperti berikut:

    i. fasa pertama permohonan lanjut tempoh pajakan melibatkan seramai 150 pemilik tanah telah diselesaikan dan hakmilik baharu telah didaftarkan dengan tempoh pajakan selama 99 tahun; dan

    ii. PDT Gombak sedang memproses permohonan melanjutkan tempoh pajakan fasa kedua melibatkan hampir 100 fail permohonan.

Lampiran

Tiada Lampiran.