Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

89) PEMOTONGAN AIR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Inisiatif kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) melancarkan Tabung Budi telah dapat membantu mereka yang mengalami tunggakan bil air menikmati bekalan air semula. Mengapakah Kerajaan Negeri mahu menghalang Tabung Budi yang bertujuan murni?

    Pelaksanaan Tabung Budi adalah bercanggah dengan tanggung jawab dan obligasi SYABAS di bawah Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani oleh SYABAS dan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Selangor. Di bawah Perjanjian tersebut, tidak ada sebarang peruntukkan yang membenarkan SYABAS mengutip apa-apa bayaran dari pengguna atau mana-mana pihak selain dari mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang oleh pengguna di dalam kawasan pembekalan air sahaja.

    Tindakan SYABAS menubuhkan Tabung Budi dan mengutip sumbangan dari orang ramai bagi tujuan membayar caj bekalan air adalah juga bertentangan dengan syaratsyarat yang ditetapkan di dalam lesen yang telah dikeluarkan kepada SYABAS. SYABAS sebagai pemegang lesen hanya diberikan kuasa untuk mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang oleh pengguna di dalam kawasan pembekalan air.

    Selain itu, tindakan SYABAS mewujudkan Tabung Budi seolah-olah ingin  menentang dasar yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor pada masa ini dan mengeruhkan hubungan baik yang telah terjalin di antara Kerajaan Negeri dan SYABAS. SYABAS sebagai syarikat yang telah diberikan konsesi bagi pengagihan air bersih dalam Negeri Selangor yang mengambil alih Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) sewajarnya akur kepada arahan dari Kerajaan Negeri dan menyokong penuh dasar-dasar yang dibuat oleh Kerajaan Negeri (Government of the day) dan bukannya menentang dasar yang dibuat.

Lampiran

Tiada Lampiran.