Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

180) PEMULIHARAAN EKO SISTEM HUTAN

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan jangka masa panjang Kerajaan Negeri bagi pemuliharaan eko sistem hutan di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Dasar Moratorium, iaitu pembekuan kawasan pembalakan komersial di dalam HSK untuk tempoh 25 tahun sejak tahun 2010 sehingga 2035. Dasar Moratorium ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memastikan bahawa kawasan-kawasan HSK ini tidak dijalankan sebarang aktiviti pembalakan yang mana secara tidak langsung dapat memelihara dan memulihara semula ekosistem habitat flora dan fauna di negeri ini.

    Bagi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, pewartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) mengikut Kelas Fungsi Hutan sepertimana di bawah Seksyen 10, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 juga merupakan salah satu perancangan jangka masa panjang bagi pemuliharaan ekosistem kerana setiap HSK boleh dikelaskan mengikut fungsi hutan yang bersesuaian. Contohnya, seluas 93,002 hektar kawasan telah diwartakan di bawah Kelas Fungsi Hutan Taman Negeri Selangor manakala seluas 44,543 hektar kewasan telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mewujudkan Zon Pembangunan Taman Negeri Selangor atau “buffer zone” pada jarak 300 meter dari sempadan HSK. Setiap pembangunan meliputi kawasan ini perlu mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri .

    Bagi kawasan hutan terosot, Jabatan ini telah dan sedang menjalankan projek penanaman semula kawasan hutan dengan spesies-spesies pokok yang sesuai untuk menggayakan/ restorasi kembali kawasan tersebut secara berterusan. Projek ini adalah meliputi semua jenis hutan yang terdapat di Negeri Selangoriaitu Hutan Darat Asli, Hutan Paya Laut dan Hutan Paya Gambut. Peruntukan yang digunakan adalah daripada Projek Pembangunan (P10) iaitu dari pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan melalui Ibupejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

    JPNS juga sedang giat dalam proses untuk mewujudkan kawasan koridor ekologi untuk haiwan iaitu melalui projek Central Forest Spine” dimana koridor laluan adalah untuk menghubungkan kawasan-kawasan hutan yang telah terpisah bagi membolehkan haiwan-haiwan bergerak dari satu kawasan hutan ke kawasan hutan yang lain.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan juga telah meluluskan dan dimaklumkan mengenai beberapa dokumen perancangan pengurusan hutan mengikut jenis dan pengelasan hutan bagi pengurusan hutan secara jangka sederhana dan jangka panjang yang menjurus kepada pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem hutan di Negeri Selangor. Di antaranya rancangan pengurusan yang telah dihasilkan adalah seperti berikut :

    • Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Selangor 2011 – 2020;

     

    • Integrated Management For North Selangor Peat Swamp Forest 2014

    – 2023;

     

    • Rancangan Kerja Hutan Paya Laut 2009 – 2019;

     

    • Rancangan Pengurusan Hutan Taman Warisan Negeri Selangor 2011

    – 2020;

     

    • Rancangan Pengurusan Hutan Tadahan Air Negeri Selangor 2013 – 2022;

     

    • Rancangan Pengurusan Hutan Simpan Kota Damansara;

     

    • Rancangan Pengurusan Hutan Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi (HCVF) di Negeri Selangor; dan

     

    • Rancangan Tahunan Hutan;

     

    Ke semua dokumen dan maklumat perancangan pengurusan hutan adalah amat penting dan berguna sebagai garis panduan di dalam Pengurusan Hutan Secara Berkekalan khususnya di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.