Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

78) PEMULIHARAAN HUTAN SIMPAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam memastikan kawasan hutan simpan di dalam Negeri Selangor terus dikekalkan?

    Kerajaan Negeri Selangor adalah sentiasa komited untuk mengekalkan dan meningkatkan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Selangor sebanyak tidak kurang 30% daripada keluasan tanah negeri selaras dengan keputusan keputusan MMKN Ke-33/2008 bertarikh 19 November 2008 dan keputusan MMKN Ke-45/2014 bertarikh 19 November 2014. Malahan, beberapa usaha sedang dilaksanakan bagi menambah keluasan HSK di negeri Selangor dengan mengenalpasti dan mewartakan tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan HSK.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Dasar Moratorium Ke Atas Pembalakan selama tempoh 25 tahun melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan hutan Tanah Kerajaan sejak tahun 2010. Justeru, tiada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh dipertimbangkan melainkan ianya mempunyai kepentingan nasional seperti bekalan elektrik, jalanraya, bekalan air dan sebagainya.

    Pihak Kerajaan Negeri Selangor juga telah menambah baik Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 pada A23 berdasarkan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011 dengan memasukkan proviso “semua pengeluaran Hutan Simpanan Kekal perlu melalui Kaedah Penyiasatan Awam seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri”. Kerajaan Negeri Selangor telah melulus dan mewartakan suatu Kaedah iaitu Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014 di dalam Warta Kerajaan di bawah Kaedah-kaedah Negeri Selangor dan telah disiar warta pada 30 Januari 2014. Dalam hubungan ini, proses penggantian rizab hutan perlu dilakukan secara serentak dan mengikut panduan Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

    Sebagai makluman, negeri Selangor adalah merupakan negeri pertama dan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah menguatkuasakan Kaedah Penyiasatan Awam sebagai syarat di dalam prosedur penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Lampiran

Tiada Lampiran.