Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

164) PEMULIHARAAN PANTAI

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah langkah-langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk memulihkan semula kawasan pantai dengan menanam pokok-pokok bakau?

    Hutan Paya Laut/Bakau di Negeri Selangor seluas 18,088.80 hektar sentiasa dipelihara untuk memastikan kawasan pesisiran pantai Negeri Selangor bebas daripada ancaman hakisan pantai. Pokok bakau mempunyai beberapa peranan penting untuk pemuliharaan pantai seperti berikut :

     

    • Pokok bakau berfungsi menjadi penghalang angin kencang daripada laut yang bertindak sebagai penahan ombak serta mampu menyerap tenaga yang dihasilkan oleh ombak berkenaan. Hutan bakau dapat menstabilkan kawasan pantai dan secara tak langsung bertindak sebagai penampan semula jadi terhadap ribut taufan.

     

    • Akar tanaman bakau berfungsi menstabilkan lumpur dan pasir di mana sistem akar yang padat berupaya menahan atau mengurangkan kesan hakisan di kawasan pantai dan muara.

     

    • Hutan paya bakau berkebolehan untuk memerangkap enapan, satu proses penambakan tanah secara semula jadi akibat fenomena pasang surut air.

     

    Oleh itu, beberapa langkah telah diambil untuk memulihkan kawasan pantai dengan menanam pokok-pokok bakau melalui kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti berikut :

     

    1)    Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

    • FRIM bertindak sebagai agensi yang bertanggungjawab menjalankan kajian teknik penanaman bakau. FRIM telah menubuhkan petak kajian bagi tujuan menjalankan kajian penanaman yang dikenal pasti berisiko tinggi iaitu di Sungai Haji Dorani, Daerah Sabak Bernam.

     

    • FRIM telah berjaya memperkenalkan teknik penanaman spesis bakau yang sesuai untuk di aplikasi di persisiran pantai. Keluasan kawasan kajian di Sungai Haji Dorani ialah lebih kurang 5.6 hektar dan kajian penanaman tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat. Jumlah pokok yang akan ditanam dalam kawasan kajian tersebut adalah dianggarkan sebanyak 22,000 anak pokok spesies bakau.

     

    2)    Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

    • Penanaman spesies bakau di kawasan-kawasan yang tidak berisiko tinggi telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor. Setiap tahun kerja-kerja penanaman spesies bakau di kawasan pesisiran pantai telah dijalankan oleh pihak Jabatan. Sejak 1992 sehingga sekarang terdapat lebih kurang 600 hektar kawasan pesisiran pantai telah ditanam dengan spesies bakau.  Dalam tahun 2009 sahaja 33 hektar atau seratus ribu anak benih bakau telah ditanam dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Tanah Kerajaan.

     

    • Sebagai langkah untuk memantapkan lagi pengurusan hutan paya laut di Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor juga telah menerbitkan sebuah Rancangan Pengurusan Hutan Paya Laut Negeri Selangor (2006 – 2015).  Tujuannya adalah untuk menguruskan hutan paya laut ini secara lebih teratur dan menepati objektif yang dikehendaki.  Bagi memastikan langkah pemeliharaan secara lestari kawasan hutan paya laut ini, ianya telah dikelaskan kepada dua kategori iaitu hutan perlindungan dan hutan pengeluaran.  Di mana kawasan hutan perlindungan meliputi 95% daripada keluasan kawasan yang diwartakan sebagai HSK (Paya Laut).

     

    3)    Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor

    • Pembinaan geotube sebagai struktur benteng pemecah ombak bagi membantu penanaman bakau. Pada Julai 2007, pihak JPS Negeri Selangor telah membina empat (4) geotube yang berukuran 50 meter setiap satu di kawasan Sungai Haji Dorani yang telah dilaksanakan oleh syarikat CAD Concept dengan sumber pembiayaan RM485,900 daripada FRIM.

     

    • Pihak JPS bertanggungjawab dalam mengawal pembangunan di kawasan pesisir pantai terutama di kawasan paya bakau di mana pihak JPS menetapkan anjakan pembangunan 400 meter bagi pantai berlumpur yang ditumbuhi paya bakau diukur dari pinggir laut “seaward edge” paya/hutan bakau sebagaimana yang ditetapkan di dalam Garis panduan JPS 1/97 : Kawalan Hakisan Berikutan Dari Pembangunan Kawasan Pantai.

Lampiran

Tiada Lampiran.