Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

142) PEMUTIHAN RUMAH IBADAT HARAM

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk memutihkan rumah-rumah ibadat haram yang berselerak dan serta menetapkan SOP aktiviti di dalam rumah ibadat ini?

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri MMK ke 6/2008 yang diadakan pada 30 April 2008 telah menimbang dan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam. Jawatankuasa ini berperanan mengadakan dialog dengan persatuan-persatuan agama bukan Islam dan akan meneliti inventori-inventori rumah-rumah keagamaan bukan Islam. Jawatankuasa ini kemudiannya dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam. Jawatankuasa ini turut berperanan menyelesaikan masalah pada isu-isu mengenai tanah dan bangunan rumah ibadat selain Islam dalam negeri Selangor. Jawatankuasa ini bermesyuarat sekurang-kurangnya 6 kali setahun atau setiap 2 bulan sekali bagi membincangkan hal ehwal selain Islam.

    Selain itu, Kerajaan Negeri sentiasa komited menyediakan tapak kemudahan ibadat yang kondusif dengan memastikan setiap pembangunan baru perlu menyediakan kemudahan-kemudahan mengikut Manual Garis Panduan Perancangan Negeri Selangor (Edisi Kedua).

    Dalam pada itu, Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam yang turut dianggotai oleh agensi-agensi teknikal seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah & Daerah Negeri Selangor, Pejabat Tanah & Galian Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya dan lain-lain agensi yang berkenaan akan bermesyuarat dan mempertimbangkan bagi status Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) yang terletak di atas tanah kerajaan sama ada diwartakan atau dipindahkan.

    Bagi RISI yang dibina sebelum tahun 2008 akan dipertimbangkan untuk dikekalkan atau diberikan tapak ganti berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kewujudan tapak kosong yang bersesuaian, usia RISI, bilangan penganut, keperluan setempat dan faktor-faktor yang bersesuaian tertakluk kepada pendirian agensi teknikal yang berkenaan.

    Bagi pembangunan baru tapak rumah ibadat, kerajaan negeri akan memastikan semua pembangunan adalah berdaftar dengan mengemukakan permohonan merancang selaras dengan keperluan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

     

    Bagi rumah-rumah ibadat yang didirikan tanpa kebenaran, Kerajaan Negeri menggunapakai Garis Panduan Tatacara Penguatkuasaan ke Atas Rumah Ibadat Selain Islam dan Tempat Penyembahan Dibina Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor yang berkuatkuasa sejak 1 Februari 2014.

Lampiran

Tiada Lampiran.