Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

153) PENAMBAHBAIKKAN PENGURUSAN PEJABAT DAERAH

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Noor Hanim Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memohon Pejabat Daerah Petaling mengkaji semula kesesuaian peruntukan yang diberikan dan peruntukan kakitangan juga harus dikaji untuk menguruskan permasalahan 14 DUN di bawahnya

    Untuk makluman Yang Berhormat ADN Seri Serdang, selaras dengan keputusan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 39/2014 yang diadakan pada 8 Oktober 2014 dan mesyuarat ke 40/2014 yang diadakan pada 15 Oktober 2014, setiap Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (AMMKN) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) diluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM 100,000.00 menjadikan peruntukan tahunan masing – masing berjumlah RM900,000.00 dan RM700,000.00

    Penggunaan peruntukan ini terbahagi kepada empat ( 4 ) kategori, iaitu :-

    • Pengurusan Pejabat;
    • Projek –projek kecil seperti projek penyelenggaraan infrastruktur awam dan projek infrastruktur asas;
    • Sumbangan kemasyarakatan secara tunai; dan
    • Program dan Aktiviti Mesra Rakyat

    Pengeluaran peruntukan ini hendaklah melalui Pegawai Daerah yang dilantik sebagai Pegawai Pengawal. Tugas Pegawai Pengawal adalah untuk mengawal dan menguruskan peruntukan supaya sentiasa tertakluk kepada terma – terma pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor, Arahan Perbendaharaan, peraturan – peraturan kewangan yang berkuatkuasa dan apa – apa arahan yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor dari semasa ke semasa.

    Untuk makluman Yang Berhormat ADN Seri Serdang, mengikut garis panduan kewangan, proses mengeluarkan peruntukan ADN adalah tidak melebihi 14 hari waktu bekerja daripada tarikh penerimaan permohonan pengeluaran peruntukan. Berdasarkan rekod pengeluaran peruntukan kepada kesemua 14 ADN di dalam Daerah Petaling, Pejabat Daerah Petaling telah mengeluarkan cek tidak melebihi 14 hari waktu bekerja mengikut garis panduan tersebut.

    Adalah diharapkan agar Yang Berhormat ADN Seri Serdang tidak menjangkakan bahawa permohonan peruntukan dikeluarkan dengan kadar segera kerana setiap permohonan perlu mengikut prosedur kerja yang telah ditetapkan.

    Berkenaan dengan bilangan kakitangan bagi memproses permohonan pengeluaran peruntukan ADN,  Pejabat  Daerah Petaling  akan mempertimbangkan sekiranya perlu menambah kakitangan untuk tujuan mempercepatkan proses pengeluaran peruntukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.