Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

73) PENAPISAN PENERIMA BANTUAN KISS

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana penapisan kepada penerima-penerima KISS?

    Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan Negeri amat berbesar hati terhadap sambutan luar biasa daripada golongan ibu dan suri rumah terhadap program KISS ini. Kebanjiran permohonan yang diterima dari setiap pelusuk DUN di Selangor menunjukkan keberkesanan hebahan program yang dibuat melalui media masa dan kerjasama Pejabat-pejabat DUN di Selangor yang sentiasa positif dalam menerima kedatangan rakyat untuk menerima borang permohonan Program KISS.

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, proses tapisan penerima bantuan Program KISS ini adalah merupakan tanggungjawab pihak Pejabat DUN dengan memastikan penerima adalah benar-benar layak dan melepasi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri seperti berikut :-

    • Warganegara Malaysia; dan
    • Lahir di Selangor atau menetap di Selangor melebihi 10 tahun; dan
    • Seorang wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak di bawah umur 21 tahun; dan
    • Berpendapatan isi rumah di bawah RM2,000.00 sebulan; atau
    • Pemilih berdaftar di Selangor

    Selain itu, Pejabat DUN juga bertanggungjawab untuk menyemak dan membuat saringan nama pemohon dengan membuat pengesahan terhadap borang serta dokumen yang dilampirkan seperti berikut :-

    • Borang Permohonan Program Kasih Ibu Smart Selangor
    • Salinan Kad Pengenalan
    • Salinan Kad Pengenalan, MyKid atau Surat Kelahiran
    • Salinan Slip Gaji / Pencen (untuk penjawat awam / pesara)
    • Salinan Penyata EA* atau KWSP* (untuk pekerja swasta)
    • Salinan Sijil Kematian / Bercerai (untuk ibu tunggal)

    Setelah pengesahan dilakukan, senarai pemohon yang layak akan dikemukakan kepada pihak Selcare Management Sdn Bhd selaku pengendali Program KISS untuk diproses bagi tujuan penyediaan kad KISS dan seterusnya akan diserahkan kepada Pejabat DUN untuk diedarkan kepada penerima bantuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.