Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

75) PENASIHAT EKONOMI SELANGOR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohamad Satim Bin Diman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Dato Seri Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor sejak tahun 2009. Apakah sumbangan terbesar Penasihat Ekonomi negeri dalam memacu ekonomi negeri?

    Sumbangan terbesar Penasihat Ekonomi Negeri dalam membantu hala tuju pentadbiran negeri setakat ini adalah cadangan beliau mengenai reformasi pengurusan tanah di Selangor. Pandangan dan ketetapan beliau bahawa perlunya ada satu pendekatan baru yang lebih adil dan membantu rakyat terbanyak dalam hal ehwal tanah di Selangor mendorong kepada keputusan Kerajaan Negeri memperkenalkan sistem baru penyambungan status hak milik tanah sementara yang tidak membebankan rakyat.

    Melalui kaedah baru ini, rakyat hanya perlu membayar yuran pemprosesan sebanyak RM1,000 sahaja untuk terus tinggal dan mendapat hakmilik tanah, berbeza dengan cara lama di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang menyebabkan rakyat terpaksa membayar berpuluh ribu ringgit.

    Reformasi pentadbiran tanah ini dijangka akan membawa kesan yang besar kepada ekonomi negeri, termasuk mengurangkan jurang harga tanah di antara status hak milik sementara dan hak milik kekal. Secara tidak langsung, ia diharapkan akan menaikkan harga hartanah yang dimiliki oleh rakyat, sementara memastikan hak milik tanah kekal dengan rakyat.

    Selangor adalah negeri pertama yang berani melaksanakan reformasi pentadbiran tanah sebesar ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.