Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

88) PENCALONAN TAPAK WARISAN SEMULAJADI DUNIA UNESCO DI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apa perkembangan terkini berkenaan pencalonan dua tapak Warisan Dunia UNESCO daripada Selangor iaitu Permatang Kuarza Gombak Selangor dan FRIM?

    Pada masa ini, Jabatan sedang dalam  peringkat  menyediakan  Dossier  bagi  tapak Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) dan FRIM. Dossier merupakan satu dokumen utama yang disediakan bagi mengangkat tapak PKGS dan FRIM ke arah Tapak Warisan Dunia (UNESCO). Dossier penting dalam memberi penerangan mengenai kepentingan sesuatu tapak dan menjelaskan outstanding universal value (OUV) tapak tersebut. Dossier juga mengandungi butir-butir tapak, justifikasi pencalonan dan tatacara perlindungan, pengurusan serta pengekalan integriti tapak.

    Berdasarkan perancangan carta perbatuan, pencalonan (inscription UNESCO) bagi tapak FRIM adalah pada tahun 2021 dan tapak Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) adalah pada tahun 2022.

    Sebagai makluman, PLANMalaysia@Selangor, Jabatan Warisan Negara dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan satu Persidangan Tapak Warisan Negeri Selangor pada 14 – 15 November 2018 bersempena usaha pencalonan World Heritage Site UNESCO (WHS-UNESCO) bagi dua (2) tapak warisan iaitu Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) dan FRIM. Tujuan penganjuran persidangan ini diadakan adalah seperti berikut:

    • Sebagai perkongsian ilmu hasil penemuan kajian saintifik melibatkan fakta Outstanding Universal Value (OUV) bagi kedua-dua tapak;
    • Sebagai satu platform kerjasama demi mengukuhkan lagi proses pengiktirafan WHS-UNESCO; dan
    • Sebagai hebahan dan promosi terhadap Tapak-Tapak Warisan Negeri Selangor Ke Arah Tapak Warisan Dunia

     

Lampiran

Tiada Lampiran.