Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

131) PENCAPAIAN SUKAN DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah sudah terjadi dengan pencapaian pasukan bola sepak Liga Super (Selangor) dan pasukan sepak takraw (STL) menjadi ulam kepada pasukan-pasukan lain?

    Bola sepak

    Status pencapaian pasukan Liga Super Selangor kini menduduki tangga ke-5 dari 12 pasukan di dalam Liga Super Malaysia 2020 dengan memperoleh sebanyak 17 mata di mana pasukan ini mengalami kekalahan sebanyak 2 kali, menang 4 kali dan seri 4 kali. Pasukan Liga Super Selangor mencatatkan jumlah jaringan gol kedua terbanyak di belakang pasukan JDT iaitu sebanyak 24 gol dan jumlah jaringan bolos sebanyak 19 gol.

    Dengan pencapaian tersebut Selangor berjaya melayakkan diri ke Pertandingan Piala Malaysia 2020 di mana Johan Pertandingan akan layak bertanding di peringkat Asia. Seorang pemain penyerang pasukan iaitu Ifedayo Olusegun telah berjaya muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2020 dengan 12 jaringan dalam 11 perlawanan.

    Pihak Persatuan Bola Sepak Selangor mengakui telah berlaku kemerosotan prestasi pasukan semasa pertengahan Liga namun setelah tindakan menggantikan Ketua Jurulatih pasukan dengan Pemantau Sementara (Care taker) iaitu Pengarah Teknikal Michael Feichtenbeiner, prestasi pasukan bertambah baik dan berjaya mengumpulkan 7 mata daripada jumlah baki 9 mata.

    Untuk makluman, pencapaian pasukan Selangor kali ini tidak harus dibandingkan dengan pencapaian tahun 2019 disebabkan Liga hanya berlangsung sebanyak 11 perlawanan sahaja manakala Liga Super pada tahun lalu telah dilaksanakan sebanyak 22 perlawanan. Penganjuran liga terpaksa ditangguhkan selama 3 bulan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pasukan yakin mampu mendapat kedudukan yang lebih baik jika kejohanan Liga Super 2020 berlangsung sebanyak 22 perlawanan.

    Di bawah pengendalian Pengarah Teknikal, Encik Michael Feichtenbeiner, pasukan Selangor yakin untuk meneruskan prestasi baik yang telah ditunjukkan dan menyasarkan untuk layak ke pusingan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung dalam beberapa minggu yang akan datang.

    Sepaktakraw

    Bagi pencapaian prestasi pasukan Selangor di Liga Sepaktakraw (STL), pasukan Selangor berada di kedudukan ke-10 di dalam liga sehingga minggu ke-4 selepas mengharungi 7 perlawanan dan mengutip hanya 2 mata setakat ini dan perlu menghabiskan 2 lagi perlawanan bertemu pasukan KL Thunder dan Pasukan PDRM untuk melengkapkan pusingan pertama STL. Pasukan Selangor masih lagi mempunyai 11 baki perlawanan untuk memperbaiki kedudukan didalam liga dan seterusnya mengekalkan kedudukan didalam liga premier STL 2021.

    Sungguhpun pasukan sepaktakraw Selangor bermula dengan pencapaian yang kurang memberansangkan di STL 2020 ini, pihak Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) tidak memandang ringan terhadap tahap prestasi sepaktakraw Selangor ini. PSS sedang dalam mengenalpasti punca permasalahan pasukan dan akan memperbaiki segala kelemahan yang terdapat didalam membentuk gandingan yang terbaik untuk mengharungi baki 11 perlawanan dan seterusnya memperbaiki kedudukan terbaik di STL 2020 ini.

    Pasukan Sepaktakraw Selangor (STL) bukan satu pasukan professional tetapi hanya dibentuk untuk kejohanan dimana sahaja para pemain tiada ikatan kontrak dan hanya dibayar elaun harian dan berlatih pada hujung minggu jika ada kejohanan. PSS juga mempunyai dana yang terhad untuk membentuk pasukan STL (senior) ini dengan lebih teratur dan mantap.

    Antara kekangan untuk membentuk pasukan sepaktakraw Selangor ini yang lebih elit dan berdaya saing adalah masalah dana atau peruntukan yang terhad untuk sewaan dewan latihan untuk pasukan, elaun latihan serta kejohanan untuk pemain dan pegawai, kos penginapan dan makan minum pasukan sepanjang hari perlawanan dan termasuk penyediaan kelengkapan pemain dan pegawai seperti jersi dan peralatan latihan.

Lampiran

Tiada Lampiran.