Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

296) PENCAWANG ELEKTRIK TNB DAN LEBUHRAYA SUKE

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah mendengar dan menerima pandangan wakil rakyat dan penduduk tempatan, berkenaan cadangan laluan bagi pencawang elektrik TNB dan lebuh raya SUKE yang melalui kawasan sekitar Zon 24 MPAJ ?

    Semenjak mengambilalih pentadbiran Negeri Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat sangat mengambil berat dalam pandangan wakil rakyat dan penduduk tempatan apabila berkaitan dengan pembangunan-pembangunan infrastruktur dan sebagainya. Hal demikian juga meliputi usaha pembangunan pencawang elektrik TNB dan lebuhaya SUKE yang jajarannya merentasi pentadbiran MPAJ.

    Bagi pembangunan lebuhraya SUKE, Kerajaan Negeri juga mendapatkan

    pelbagai input daripada Jabatan dan Agensi terlibat seperti berikut :-

    • Kementerian Kerja Raya (KKR),
    • Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),
    • Jabatan Ketua Pengarah Tanah Galian (JKPTG),
    • Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor,
    • Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS),
    • Jabatan Perhutanan,
    • Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),
    • Lembaga Urus Air Selangor (LUAS),
    • Jabatan Pengairan Saliran (JPS).

    Manakala bagi laluan talian penghantaran elektrik TNB Mahkota Cheras,

    Kerajaan Negeri juga turut mendapatkan pelbagai input daripada Jabatan dan

    Agensi terlibat seperti berikut :-

    • Jabatan Ketua Pengarah Tanah Galian (JKPTG),
    • Jabatan Perhutanan,
    • Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS),
    • Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),
    • Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    Pandangan-pandangan ini juga turut melibatkan wakil rakyat dan penduduk tempatan di mana setiap pandangan yang diberi akan sentiasa diberi pertimbangan. Ulasan dan syarat-syarat yang telah digariskan oleh semua agensi teknikal telah dibentangkan di mesyuarat MTES dan telah diberi pertimbangan kelulusan.

    Bagi projek lebuh raya SUKE, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan cadangan pelaksanaan lebuh raya pada 26 April 2012 serta jajaran SUKE telah dimasukkan ke dalam Pelan Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

    Selain daripada itu, beberapa siri Sesi Taklimat Awam telah diadakan sebelum ini yang turut dihadiri oleh ADUN pada ketika itu iaitu YB Jenice Lee, dan wakilwakil dari Zon 24, MPAJ dengan rumusan sebayak 89% penduduk menyokong jajaran lebuhraya tersebut berbanding 11% yang tidak bersetuju.

    Manakala bagi laluan pencawang elektrik TNB, Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya pembinaan Projek Penghantaran Elektrik 275kv TNB dari Cheras Hartamas ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Mahkota Cheras melalui rezab Hutan Simpan Sungai Putih pada 21 Disember 2011.

    Selain daripada itu, beberapa siri taklimat dan perbincangan lanjut telah dibuat bersama Ahli Parlimen Pandan dan ADUN Teratai bagi memilih beberapa opsyen laluan yang dapat mengurangkan impak dari segi sosial dan ekonomi sebelum diangkat untuk pertimbangan Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.