Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

122) PENCEGAHAN DENGGI

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rasional yang digunakan oleh KNS semasa melancarkan kempen menggunakan aerosol untuk menghapuskan nyamuk Aedes?

    Program Semburan Aerosol Selangor (SAS) telah dilancarkan pada 26 Februari 2017 yang bertemakan ‘Satu Rumah, Satu Aerosol’ sebagai satu langkah proaktif bagi mengawal dan mencegah penularan wabak Denggi yang bermula di rumah. Program SAS ini diilhamkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya penggunaan Aerosol di dalam rumah supaya ahli keluarga dapat dilindungi daripada nyamuk Aedes yang berkemungkinan berada dekat dengan penghuninya. Kaedah pencegahan ini amat mudah didapati dan dilaksanakan oleh setiap isi rumah dengan mematuhi arahan yang terdapat pada label.

    Program ini merupakan fasa pertama yang telah dirancang oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor bagi mencegah kes demam Denggi daripada terus meningkat. Kempen-kempen kesedaran penggunaan Aerosol akan diteruskan di peringkat PBT semasa pelaksanaan program gotong-royong bersama penduduk.

    Lanjutan keberkesanan yang dihasilkan daripada pelaksanaan Program SAS ini di rumah-rumah, Kerajaan Negeri melebarkan usaha untuk meluaskan penggunaan aerosol kepada pengusaha pengangkutan awam di negeri Selangor di mana sebahagian besar penduduk di Negeri Selangor menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam ini. Program ini melibatkan semua pengusaha Bas Smart Selangor, Bas Ekspres, Bas Berhenti-henti, Bas Sekolah, Bas Pekerja dan Pemandu Teksi di Selangor sebagai agen pencegahan denggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.