Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

62) PENCEGAHAN MAKSIAT

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Gejala sosial semakin parah, selain daripada meningkatkan pencegahan maksiat, apakah bentuk tindakan yang akan dilaksanakan bagi menangani gejala tersebut

    Tuan Speaker, pendekatan yang digunakan untuk menangani gejala sosial ialah melalui Amar Maaruf dan Nahi Mungkar, iaitu menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

    Dalam melaksanakan Amar Maaruf, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor melaksanakan 117 program dakwah yang berbeza sepanjang tahun. Ini tidak termasuk peranan yang dimainkan oleh institusi masjid melalui Khutbah Jumaat yang diselaraskan isinya di peringkat negeri dan kursus pra- perkahwinan yang diwajibkan kepada pemohon nikah. Begitu juga penjelasan- penjelasan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor. Pada hari ini, boleh dikatakan aspek ini dilaksanakan melalui pelbagai medium. Contohnya, melalui program televisyen seperti Akademi Pendakwah Muslimat, slot-slot di radio, penjelasan menerusi laman web, Youtube, Facebook dan sebagainya.

    Manakala dari aspek Nahi Mungkar, aspek penguatkuasaannya dilaksanakan oleh JAIS manakala penghakimannya dibuat oleh JAKESS. Walau bagaimanapun, aspek ini memerlukan kerjasama yang sangat tinggi daripada orang awam. Hotline 24 jam Penguatkuasaan JAIS sentiasa bersedia untuk menerima aduan awam dengan syarat aduan adalah bertanggungjawab dan melepasi keperluan yang ditentukan di bawah Seksyen 54 dan Seksyen 57 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor Tahun 2003. Hotline 1800 88 2424 ini sekarang diperkukuhkan lagi dengan adanya aplikasi AMAR yang dilancarkan baru-baru ini. Orang awam boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma dari apps store telefon bimbit masing-masing. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, aspek Nahi Mungkar ini bertujuan menjaga kerukunan keluarga dan kehidupan bermasyarakat.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.