Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

67) PENCEMARAN

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah komitmen kerajaan untuk mengatasi pencemaran kualiti air, udara dan bau khususnya di sungai-sungai dan pantai-pantai?

    Bagi mengatasi pencemaran kualiti air, udara dan bau di sungai-sungai dan pantai-pantai yang mana berpunca dari pelepasan buangan dari aktiviti industri, perniagaan dan komersil, pelepasan kumbahan serta pembuangan sisa pepejal, Kerajaan Negeri mempunyai komitmen yang tinggi di dalam menyelesaikan masalah pencemaran tersebut dengan mengambil langkah-langkah sewajarnya, antaranya melaksanakan tindakan-tindakan seperti berikut:

     

    1. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi kawalan pencemaran air, udara dan bau di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan- peraturan di bawahnya oleh Jabatan Alam Sekitar. Selain dari itu, agensi- agensi lain juga turut menguatkuasakan undang-undang di bawah bidangkuasa mereka seperti Akta Kerajaan Tempatan, 1974 (Akta 133) di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Enakmen Lembaga Urus Air Selangor, 1999 di bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Kanun Tanah Negara, 1965 di bawah Pejabat Tanah dan Daerah, Akta Perhutanan Negara, 1984 di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Enakmen Peladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor;

     

    1. Jabatan Alam Sekitar menjalankan program penguatkuasaan berjadual ke atas kilang-kilang yang dikenalpasti berisiko melakukan pencemaran air atau udara bagi memastikan kilang-kilang tersebut sentiasa mematuhi peraturan;

     

    • Jabatan Alam Sekitar serta lain-lain agensi berkaitan juga turut menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku aktiviti yang boleh mengakibatkan pencemaran kepada kualiti air, udara dan bau di sungai-sungai dan pantai-pantai Negeri Selangor bagi pengesanan awal bagi mengelakkan berlakunya pencemaran;

     

    1. Selain dari itu, aktiviti program pendidikan dan kesedaran kepada orang awam, pihak industri, para petani dan pihak-pihak yang berkepentingan dilaksanakan seperti mengadakan seminar, bengkel, ceramah dan pameran bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran kepada kualiti air, udara dan bau; dan

     

    1. Untuk makluman, dari 1 Januari 2014 – 17 November 2014 Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menerima sebanyak 2,023 aduan yang terdiri daripada aduan pencemaran air termasuklah pencemaran badan air seperti sungai atau pantai, udara, bunyi bising, buangan sisa pepejal dan lain-lain. Pada tempoh tersebut, tindakan undang-undang yang telah diambil kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ialah sebanyak 87 kes telah diambil tindakan pendakwaan di mahkamah di mana 63 kes adalah bagi kesalahan pencemaran air dan udara manakala tindakan kompaun ialah sebanyak 528 kompaun telah dikeluarkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.