Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

68) PENCEMARAN AIR LAUT DI PERAIRAN PELABUHAN KLANG

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Amnya Pelabuhan Klang mempunyai 3 pelabuhan iaitu Pelabuhan Barat, Pelabuhan Selatan dan Pelabuhan Utara. Telah terdapat tumpahan minyak yang sering berlaku di 3 pelabuhan tersebut. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri di dalam membendung dan mengelakkan kejadian seumpama ini sering berlaku selain laporan dan aduan dibuat kepada Lembaga Pelabuhan Klang, Jabatan laut dan Jabatan Alam Sekitar

    Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi penguatkuasaan maritim seperti Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Marin sentiasa mengadakan pemantauan secara berterusan untuk mencegah serta membendung kejadian pencemaran minyak daripada aktiviti-aktiviti perkapalan sekitar Pelabuhan Klang. Melalui aktiviti pemantauan ini pemeriksaan juga dibuat ke atas kapal bagi memastikan tidak ada sisa minyak atau bahan buangan yang disimpan di dalam kapal dilupuskan secara haram ke dalam laut. Selain dari itu, beberapa langkah kawalan sediada dilaksanakan oleh pihak berkuasa pelabuhan bagi mengurangkan insiden pelanggaran kapal dagang seperti Traffic Separation Scheme (1977), Vessel Traffic Management System (1997) dan Mandatory Ship Reporting System in the Straits of Malacca (STRAIREP 1998).

    Selain dari pencegahan, Pihak Berkuasa Pelabuhan di bawah seliaan Lembaga Pelabuhan Klang juga mempunyai Pelan Tindakan Tumpahan Minyak (Peringkat Setempat)  bagi memastikan penyelaras tindakbalas sekiranya berlaku tumpahan minyak di dalam kawasan pelabuhan (Port Limit). Selain dari itu, pihak berkuasa pelabuhan juga perlu memperlengkapkan kemudahan masing-masing dengan stokpile peralatan kawalan tumpahan minyak yang mencukupi dan mempertingkatkan kemahiran kakitangan dalam kerja-kerja melawan tumpahan minyak. Bagi kes di mana pencemaran minyak telah merebak di pantai dan pelabuhan, Pelan Tindakan Pembersihan Pantai Negeri Selangor akan digerakkan.  Operasi pembersihan minyak peringkat setempat ini akan diterajui oleh Jawatankuasa Pembersihan Pantai Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah.

Lampiran

Tiada Lampiran.