Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011

69) PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2011

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah tindakan-tindakan yang berkesan telah diambil untuk mengatasi pencemaran asap-asap kilang yang terdapat di Negeri Selangor?

    1. Kilang-kilang yang didapati melakukan kesalahan melepaskan asap yang berlebihan menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar akan diambil tindakan mengikut peruntukkan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 iaitu dengan mengeluarkan Notis Arahan, kompaun, tindakan mahkamah dan mengenakan Perintah Larangan

     

    Pada tahun 2010 Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menjalankan sebanyak 2275 pemeriksaan penguatkuasaan meliputi 2094 premis industri pembuatan yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Daripada premis yang diperiksa, sebanyak 1608 atau 76.8% premis menunjukkan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di mana peratus pematuhan tersebut adalah meningkat berbanding tahun 2009  yang  mencatat pematuhan 74.8%.

     

    Khusus bagi kilang-kilang di kawasan sekitar Meru dan Sementa, Klang yang menghasilkan pencemaran udara terdiri dari kilang berasaskan kayu, kilang sarung tangan getah, plastik, ”cement batching plant”, berasaskan getah, kimia, logam, percetakan dan tekstil. Tindakan yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar bagi mengawal pelepasan asap dari kilang-kilang ini adalah dengan membuat pemeriksaan berkala ke atas premis kilang-kilang tersebut bagi memastikan operasi kilang-kilang ini dilengkapi dengan alat kawalan yang sepatutnya, membuat percontohan pelepasan cerobong dan menyemak ’smoke record’ yang dipasang oleh kilang-kilang tersebut.

     

     

     

     

    Pada tahun 2010, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menjalankan sebanyak 200 pemeriksaan penguatkuasaan ke atas kilang-kilang yang terletak di kawasan sekitar Meru dan Sementa, Klang di mana hasil dari lawatan siasatan yang dijalankan sebanyak 39 surat arahan, 43 Notis Arahan dan 46 kompaun telah dikeluarkan.

     

    Dalam hubungan ini ingin dijelaskan juga bahawa kawalan ke atas pelepasan asap dari kilang-kilang ini juga bergantung kepada operasi dan penyenggaraan alat kawalan yang dipasang. Terdapat juga kes-kes di mana alat kawalan yang dipasang tidak dikendalikan dengan baik semasa ketiadaan pegawai JAS di lapangan atas alasan cuba menjimatkan kos. Ini menyebabkan masih berlaku beberapa kes pencemaran dari masa ke semasa yang menyebabkan aduan orang ramai. Bagi kes-kes yang melibatkan aduan berulang dan siasatan mendapati aduan adalah berasas dan disebabkan kecuaian dari  pihak kilang tindakan yang lebih tegas akan diambil.

Lampiran

Tiada Lampiran.