Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

10) PENCEMARAN ALAM SEKITAR SERIUS OLEH SEBUAH KILANG DI LOT 8942, JALAN BESAR, KAMPUNG TELOK GONG, 42000 PELABUHAN KLANG, SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Tan Pok Shyong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sebuah kilang di Lot 8942, Jalan Besar, Kampung Telok Gong, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor telah mengeluarkan bau yang sangat busuk dan juga asap yang amat menyesakkan pernafasan dan menjejaskan kesihatan penduduk-penduduk bersebelahan dan murid-murid di sekolah SJK(C) Lee Min yang berdekatan. Beberapa aduan telah dikemukakan kepada pihak berkenalan tetapi tiada tindakan langsung. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ini?

    Dimaklumkan bahawa, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor ini telah menjalankan siasatan terhadap Green Rubber & Petroluem Sdn. Bhd, di Kg Telok Gong, Klang, Selangor. Premis ini menjalankan aktiviti memproses tayar terpakai secara Pyrolisis. Hasil siasatan penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh JAS Negeri Selangor ke atas kilang tersebut mendapati terdapat kelemahan pada Alat Kawalan Pencemaran Udara yang tidak beroperasi dengan efisien. Sehubungan dengan itu, JAS telah mengeluarkan surat arahan kepada pihak kilang supaya membuat pembaikan ke atas kelengkapan kawalan pencemaran udara dan mengawal pelepasan habuk carbon black yang dihasilkan.

    Berdasarkan rekod, JAS telah mengeluarkan 4 kompaun kepada pengilang atas kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 1978. Pengilang telah mematuhi peraturan-peraturan berkenaan dan tiada kompaun lanjut dikeluarkan.

    Lawatan siasatan terkini oleh JAS pada 13 Oktober 2015 mendapati pengilang sedang dalam proses membaiki infrastruktur setelah terlibat dalam kebakaran dan kilang masih belum beroperasi. Kilang ini tidak memerlukan lesen  daripada JAS dan mempunyai lesen daripada Majlis Perbandaran Klang.

    JAS Negeri Selangor akan terus menjalankan penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi memastikan kilang tersebut mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.